Banjir Matu Berlaku Lebih Awal, Penduduk Diminta Tingkat Kesiapsiagaan
MATU: Kejadian banjir yang melanda daerah Matu tahun ini berlaku lebih awal berbanding kebiasaan, sekali gus menuntut tahap kesiapsiagaan yang tinggi daripada semua pihak, khususnya penduduk di kawasan terjejas.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Matu yang diadakan di bilik mesyuarat majlis daerah Matu dan Daro, di sini, Isnin.
Menurut beliau, mesyuarat melibatkan penyertaan 15 agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bertujuan menyelaras tindakan serta memperkukuh kesiapsiagaan pengurusan bencana banjir di daerah tersebut.
Beliau berkata, hasil pemantauan semasa mendapati paras air di beberapa kawasan menunjukkan trend peningkatan, justeru langkah awal perlu diambil bagi meminimumkan risiko dan kesan banjir terhadap penduduk.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk daerah Matu agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.
Beliau turut menggesa penduduk supaya sentiasa berhubung rapat dengan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penduduk yang diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) perlu mematuhi arahan tersebut demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Pada masa sama, beliau meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama agensi berkaitan memastikan laluan jalan awam sentiasa boleh dilalui serta mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan yang menyukarkan pergerakan kenderaan.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Matu menasihatkan ibu bapa agar tidak membenarkan kanak-kanak bermain air banjir berikutan risiko keselamatan dan kesihatan, selain mengingatkan penduduk supaya menyimpan barangan penting di tempat yang lebih tinggi.
Ketua Polis Daerah Matu dan Daro pula memaklumkan bahawa rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk, di samping menasihatkan penduduk berpindah sekiranya keadaan menjadi berbahaya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro mengingatkan penduduk supaya berwaspada terhadap perubahan struktur rumah, risiko runtuhan serta bahaya litar pintas akibat penggunaan peralatan elektrik semasa banjir.
Keseluruhannya, semua agensi terlibat akan terus bekerjasama serta melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk Daerah Matu sentiasa terpelihara.-EDISIUKAS