Pertandingan Seni Kaligrafi Martabat Seni Dan Budaya Warisan Cina
MIRI: Persatuan-persatuan Cina Bersekutu Bahagian Miri (FCA) terus komited memartabatkan seni dan budaya warisan menerusi penganjuran Pertandingan Seni Kaligrafi Edisi Kelima Piala Cabaran ‘Dato Sri Lee Kim Shin’ yang dijadual berlangsung pada 30 Januari depan.
Penganjuran edisi kelima ini dilihat sebagai antara acara budaya utama yang bakal membuka tirai tahun baharu 2026 di bahagian utara Sarawak.
Menurut Presiden FCA James Hii Sing Lung, penganjuran seumpama ini mencerminkan kesinambungan komitmen dalam menjadikan seni sebagai medium penyatuan masyarakat pelbagai kaum.
Katanya, FCA akan terus mempergiat usaha mempromosikan budaya khususnya seni kaligrafi Cina dengan sokongan konsisten daripada Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
“Melalui pertandingan seperti ini, kami berharap dapat menarik minat golongan muda daripada pelbagai kaum untuk belajar dan menghargai seni kaligrafi.
"Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi satu platform untuk memperkenalkan nilai budaya serta menggalakkan interaksi antara kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Dato Sri Lee dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Hii Mee Lian di Pusat Khidmat Rakyat Senadin pada Isnin.
Katanya, pertandingan itu melibatkan penyertaan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah serta kategori terbuka yang turut menarik penyertaan peserta bukan Cina.
Menurut James Hii, bagi edisi kali ini, FCA merancang pembaharuan dengan memberi pendedahan awal tajuk kaligrafi kepada peserta bagi membolehkan persediaan rapi dilakukan.
Pertandingan ini dianjurkan dengan kerjasama SM Riam Road dan bakal melibatkan penyertaan dari kawasan Subis, Batu Niah, Baram, Marudi dan Limbang.
Dalam majlis yang sama, Dato Sri Lee turut menyampaikan peruntukan aktiviti berjumlah RM10,000 kepada pihak penganjur sebagai sokongan terhadap usaha memartabatkan seni dan budaya di peringkat akar umbi.