Mobile Service2U Jadi Platform Rakyat Suarakan Isu di Mosjaya
MIRI: Pusat Khidmat DUN Senadin menerusi program Mobile Service2U terus komited mendekati rakyat apabila mengadakan sesi turun padang bersama penduduk di Mosjaya New Food Court serta kedai-kedai kopi sekitar, di sini, pagi Ahad.
Program yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin itu turut disertai barisan Jawatankuasa Cawangan SUPP Senadin, sayap Wanita dan Belia, selain kapitan serta kaunselor tempatan.
Antara yang hadir termasuk Kapitan Jee Kee Hiong, Kapitan Chong Kee Fah dan Kaunselor William Sim.
Dalam sesi tersebut, Dato Sri Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkesempatan beramah mesra bersama penduduk sambil menyampaikan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 serta mengagihkan kalendar Pusat Khidmat DUN Senadin 2026 yang disambut baik oleh masyarakat setempat.
Penduduk setempat turut mengambil peluang menyuarakan pelbagai isu dan maklum balas, antaranya berkaitan perkhidmatan Hospital Miri, kejadian banjir kilat, jalan berlubang, masalah saliran serta permohonan pemasangan lampu jalan di persimpangan kawasan perumahan.
Menurut Dato Sri Lee, pendekatan turun padang menerusi program Mobile Service2U membolehkan perkhidmatan disampaikan secara terus kepada rakyat.
“Semua maklum balas yang diterima hari ini akan disalurkan segera kepada agensi dan jabatan berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, program berkenaan bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah menjadi medium penting untuk mendapatkan maklum balas secara bersemuka bagi menangani keperluan dan isu setempat dengan lebih berkesan.