SUKSAR Platform Strategik Pembangunan Atlet Sarawak
KUCHING: Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 8 Februari 2026 dengan Sri Aman dan Betong dipilih sebagai tuan rumah bersama, sekali gus memperkukuh peranan kejohanan dwitahunan itu sebagai platform strategik dalam pembangunan atlet pelapis negeri.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran SUKSAR dapat menjadi platform untuk mencari atlet terbaik yang akan mengibarkan cabaran Sarawak pada temasya SUKMA 2026 yang akan diadakan di Selangor pada Ogos nanti.
"Kita berharap dengan adanya sukan SUKSAR ini kali ini kita akan dapat mempertengahkan pasukan yang terkuat untuk sukan SUKMA yang akan diadakan dalam bulan Ogos nanti, insya-Allah kerana kita tahu bahawa untuk sukan SUKMA kita adalah juara bertahan.
"Ini akan menjadi SUKMA yang sangat penting. Kita akan pergi Selangor. Selangor sentiasa menjadi sebuah negeri yang sangat, sangat kuat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sukan Sarawak (SUKSAR) IV di Bangunan Baitul Makmur di sini pada Jumaat.
Selain itu katanya, penganjuran SUKSAR ini turut memberi pendedahan awal kepada atlet muda Sarawak dalam suasana pertandingan berprestasi tinggi bagi menguji keupayaan fizikal, mental dan taktikal, sekali gus membentuk daya saing serta mentaliti juara sejak peringkat awal pembangunan atlet.
SUKSAR juga berfungsi sebagai pemangkin pengaktifan persatuan sukan di peringkat zon dan daerah di samping mempertingkatkan kompetensi pegawai teknikal tempatan secara berterusan, sekali gus memperkukuh keseluruhan ekosistem pembangunan sukan negeri, tambah Dato Sri Abdul Karim.
Menurutnya, penganjuran SUKSAR kali ini akan melibatkan penyertaan seramai 257 atlet daripada empat zon utama, iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Barat dan Zon Selatan, dengan sebanyak 11 jenis sukan dipertandingkan sepanjang temasya tersebut.
“Untuk SUKSAR kali ini 11 jenis sukan antaranya adalah angkat berat, berbasikal berbasikal ada dua mountain bike dan juga lebuh raya, bola jaring, bola keranjang, karate, ping pong, petanque, sepak takraw softball, taekwondo dan tinju.
"Untuk bahagian Betong akan diadakan empat acara sukan antaranya angkat berat, berbasikal bola jaring dan taekwondo.
"Untuk bahagian Sri Aman ada lima sukan, bola keranjang, petanque, ping pong, sofbol dan juga tinju keseluruhan. Manakala Lubok Antu ada dua sepak takraw dan juga karate," tambahnya.
Dalam masa sama katanya, penganjuran SUKSAR IV di Sri Aman dan Betong dijangka memberi kesan positif kepada komuniti setempat, antaranya merancakkan aktiviti ekonomi tempatan, memperluas pendedahan sukan bertaraf negeri di kawasan luar bandar serta menyokong pembangunan kemudahan dan kepakaran sukan di peringkat akar umbi.
Jelas beliau lagi, sebanyak 105 pingat emas, 105 pingat perak dan 135 pingat gangsa ditawarkan, menjadikan kejohanan ini medan persaingan yang kompetitif dan signifikan dalam mengukur tahap prestasi atlet muda Sarawak.
Majlis Perasmian SUKSAR IV 2026 akan diadakan pada 4 Februari, jam 3.00 petang bertempat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong, dan akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Manakala, majlis penutupan dijadualkan berlangsung pada 8 Februari, jam 3.30 petang bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman, dan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abu Nawas, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak Khairul Nizam Morshidi dan tetamu lain. -EDISI UKAS