Inisiatif Kongsi Nasi Briyani Hidupkan Suasana Ramadan Di Mukah
MUKAH: Lebih 800 bungkus nasi briyani diagihkan kepada orang ramai sempena Ramadan menerusi Program Agihan Nasi Briyani yang berlangsung di perkarangan Masjid Darul Huda, Kampung Kuala Lama, pada Isnin.
Program berkenaan merupakan anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Jariah Komuniti Kuala Lama dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Lama serta sokongan Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Mukah, RHB Bank, Masjid Darul Huda dan 101 Superman Speedmart.
Inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai usaha menyemai budaya berkongsi rezeki dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Agihan yang bermula seawal jam 4.30 petang itu menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai, sekali gus mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan.
Hadir sama, Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Mukah Michelle, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias serta Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Jariah Komuniti Kampung Kuala Lama Badan Khairat Kematian Kampung Kuala Lama Mukah (BKKKL) Hamdin Morshidi.-EDISI UKAS