Sarawak Perhebat Inisiatif Perumahan, Fokus Akses Pembiayaan dan Pemilikan Rakyat
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pemilikan rumah dengan memberi fokus kepada isu akses pembiayaan serta keadilan agihan pemilikan dalam kalangan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, masih terdapat golongan yang berkemampuan memiliki rumah namun berdepan kekangan mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.
“Ada yang mampu beli rumah tetapi tidak layak pinjaman bank kerana tiada pendapatan tetap, dan di sinilah peranan Mutiara Finance untuk membantu kes-kes seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Mutiara Open Day 2026 di Dewan Rafflesia, HDC, pada Sabtu.
Menurutnya, isu utama perumahan di Sarawak bukan kekurangan unit, sebaliknya ketidakseimbangan agihan akibat faktor migrasi serta pemilikan berganda.
“Walaupun jumlah rumah mencukupi, isu utama adalah agihan tidak seimbang dan ada yang memiliki lebih daripada satu rumah, sedangkan masih ramai yang belum memiliki rumah,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan kerajaan adalah memastikan pemilikan rumah dapat dicapai secara menyeluruh merentasi semua lapisan umur.
“Kita mahu rakyat memiliki rumah seawal mungkin supaya pinjaman dapat diselesaikan sebelum usia tua, namun pada masa sama kita sediakan skim merentas generasi supaya mereka yang lebih berusia juga masih berpeluang memiliki rumah,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan Sarawak memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk pembiayaan melalui Mutiara Mortgage & Credit serta skim pinjaman merentas generasi bagi memastikan akses pemilikan rumah lebih menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menyasarkan pembinaan sebanyak 20,000 unit rumah mampu milik di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi memenuhi keperluan rakyat di seluruh negeri.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Mutiara Open Day 2026, penyerahan surat tawaran Rumah Spektra Mutiara (RSM) serta penyerahan bantuan melalui Skim Bantuan Bayaran Balik (HDRAS).
Program anjuran Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd itu bertujuan memperluas akses pemilikan rumah melalui pelbagai inisiatif pembiayaan dan sokongan kepada rakyat.
Turut hadir Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Elizabeth Loh, Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd Awang Irwan Awang Shawal, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Fathi Hambali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Jamilah Jami’an Bujang serta wakil agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan. - EDISI UKAS