Ramah Tamah Aidilfitri Kuala Balingian Perkukuh Perpaduan Komuniti
BALINGIAN: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 Kuala Balingian yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kuala Balingian malam tadi berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh muhibah dan kemeriahan.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi bersama isteri, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam mendekati rakyat serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan komuniti.
Turut hadir Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip, Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Balingian, Nolin Gendang serta barisan pemimpin masyarakat termasuk Penghulu Merzuki Sahari, Penghulu Harbi Bakir dan Ketua Kaum Ismail Akop.
Majlis anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Balingian, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta Komuniti MADANI Kuala Balingian itu bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam ucapannya, Abdul Yakub menzahirkan kesyukuran dapat bersama masyarakat, sambil menegaskan bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya simbol kemenangan selepas menjalani ibadah Ramadan.
Menurut beliau, penganjuran majlis seumpama itu penting sebagai platform mempererat hubungan, memupuk perpaduan serta mengukuhkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Beliau turut memuji semangat kerjasama dan gotong-royong penduduk Kuala Balingian dalam menjayakan pelbagai program komuniti.
“Perpaduan yang kukuh akan memudahkan usaha pembangunan dan membawa manfaat kepada semua pihak,” katanya.
Beliau dalam masa sama menyeru masyarakat agar terus memelihara nilai murni seperti saling menghormati, tolong-menolong dan bertolak ansur demi kesejahteraan bersama.-EDISI UKAS