Solidariti Komuniti Diperlukan Bantu Dua Pesakit Pendengaran
MIRI: Keprihatinan masyarakat terus diperlukan apabila dua individu yang mengalami masalah pendengaran memerlukan sokongan kewangan bagi menjalani pembedahan implan koklea yang menelan kos tinggi.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, Flora Lee Kai Shuan dan Andy Harrison masing-masing memerlukan kira-kira RM125,000 bagi mendapatkan rawatan tersebut.
Menurut beliau, usaha kutipan dana kini sedang giat dijalankan, namun setakat ini hanya sekitar RM50,000 berjaya dikumpul, dengan kekurangan kira-kira RM200,000 lagi bagi menampung keseluruhan kos pembedahan.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat di Miri agar tampil menghulurkan bantuan sebagai tanda solidariti dan keprihatinan, sekali gus membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga kedua-dua individu berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa sokongan berterusan daripada masyarakat bukan sahaja penting dari segi kewangan, malah mampu memberi sinar harapan kepada mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti pada masa hadapan.-EDISI UKAS