KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berada dalam kategori negara yang berisiko mengalami 'bankrap air' kerana negara masih mempunyai sumber air mentah yang mencukupi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, Malaysia menerima purata lebih 2,500 milimeter hujan setahun dengan anggaran sumber air boleh diperbaharui melebihi 580 bilion meter padu setahun namun cabaran sebenar yang perlu ditangani ialah dari sudut pengurusan sumber air secara bersepadu, perlindungan kawasan lembangan sungai serta kecekapan sistem penyampaian air negara.
"Secara umumnya, simpanan aktif empangan mampu menampung bekalan air sehingga 90 hari (tiga bulan).
"Pada masa yang sama, kadar Air Tidak Terhasil (NRW) nasional masih berada pada tahap sekitar 34.3 peratus, bersamaan kira-kira 6,000 juta liter sehari air terawat yang hilang.
"Kehilangan ini dianggarkan mencecah hampir RM2 bilion setahun dari segi potensi hasil tetapi jika kadar NRW dapat dikurangkan kepada 25 peratus sahaja, negara boleh menjimatkan kira-kira 2,000 juta liter sehari air tambahan tanpa perlu membina loji rawatan air baharu," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan Harian Metro bertarikh 23 Mac 2026 yang menyarankan agar kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) merangka pelan strategik bagi mengatasi risiko situasi ‘kebankrapan air global’.
Datuk Amar Fadillah menambah, isu utama yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan storan air secara pelbagai, pencerobohan kawasan tadahan, pencemaran sungai, serta kekurangan integrasi antara pelbagai sumber air alternatif seperti air bawah tanah, takungan air secara dalam jajaran dan pinggiran sungai, air kitar semula, sistem penuaian air hujan dan desalinasi.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu memberitahu, permintaan air negara dijangka terus meningkat daripada kira-kira 19,372 juta liter sehari pada 2025 kepada lebih 25,000 juta liter sehari menjelang 2030 berdasarkan kapasiti reka bentuk loji rawatan air, sekali gus memerlukan perancangan sumber baharu secara lebih strategik.
Tambahnya, Malaysia mempunyai 2,986 lembangan sungai yang mana sekitar 30 peratus lembangan sungai utama negara dikenal pasti berdepan tekanan pencemaran sederhana hingga serius akibat pelepasan industri dan aktiviti guna tanah tidak terkawal, yang boleh menjejaskan operasi loji rawatan air.
"Buat masa ini, kadar tarif air sedia ada bagi sesetengah operator air hanya mencukupi untuk menampung kos semasa.
"Sehubungan itu, ada keperluan untuk mempercepat pelaksanaan pendekatan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) di semua lembangan sungai utama negara serta memperkukuh strategi storan air melalui pembinaan takungan air dalam jajaran dan pinggiran sungai, peningkatan kapasiti dan fungsi empangan, pemetaan pintar sumber air bawah tanah secara sistematik dan pemerkasaan elemen penyelidikan dalam menerokai teknologi yang ampuh dan berdaya saing dalam pengurusan sumber," ujarnya.
Datuk Amar Fadillah berkata, penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan juga perlu dipertingkatkan melalui pembangunan hab digital sektor air peringkat kebangsaan yang akan diluncurkan dalam masa terdekat dalam tahun ini dan peringkat serantau menjelang 2040.
Selain itu katanya, pendekatan baharu pembiayaan sektor air termasuk kerjasama awam-swasta dan pembiayaan berasaskan prestasi perlu diperluaskan bagi mempercepat pelaksanaan projek pengurangan NRW dan pembangunan sumber air alternatif.
Ini termasuk program komunikasi awam secara berterusan juga perlu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai air, memandangkan penggunaan domestik rakyat Malaysia masih sekitar 225 liter seorang sehari berbanding sasaran mampan Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu 165 liter," katanya lagi.
"Malaysia bukan negara yang akan bankrap air namun tanpa transformasi pengurusan sumber air secara menyeluruh dan bersepadu, tekanan bekalan boleh berlaku di beberapa kawasan menjelang 2030.
"Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kepada kemampanan sumber dan kesejahteraan rakyat, pelaksanaan strategi di bawah kerangka AIR 2040, Malaysia bukan sahaja mampu menjamin keselamatan air negara, malah berpotensi muncul sebagai hab kecemerlangan sektor air serantau menjelang 2040," tegas beliau. -EDISI UKAS