KCFC Mohon MFL Siasat Isu Pendaftaran Pemain Scott Wood
KUCHING: Kuching City FC (KCFC) memohon Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjalankan siasatan terperinci berhubung isu pendaftaran pemain import, Scott Wood, yang didakwa tercicir daripada senarai rasmi perlawanan akibat kesilapan teknikal pegawai perlawanan.
Presiden KCFC yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, berkata pihaknya telah mengemukakan kenyataan rasmi beserta kronologi lengkap kejadian kepada MFL untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, ketika senarai rasmi perlawanan didaftarkan oleh pegawai perlawanan, nama Scott Wood didakwa tercicir dan digantikan dengan nama Daniel Amier, sedangkan pemain berkenaan tidak mengikuti pasukan kerana mengalami kecederaan.
"Jadi, seperti yang kita nyatakan sebelum ini, kita akan berjuang berdasarkan kepada peraturan yang disediakan, dan kita akan memohon MFL untuk meneliti perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilifitri beliau yang berlangsung di Dewan Hikmah, Petra Jaya pada Selasa.
Tambah beliau, pihak kelab percaya terdapat kemungkinan berlakunya kekhilafan atau kesilapan teknikal di pihak pegawai perlawanan yang menyebabkan nama Scott Wood tidak dimasukkan dalam senarai rasmi.
Sehubungan itu, KCFC berharap MFL dapat meneliti perkara berkenaan secara adil dan menyeluruh, selain mengemukakan cadangan serta penyelesaian yang sewajarnya terhadap permohonan kelab itu.
"Jadi, kita memohon MFL untuk menyiasat dan mengemukakan cadangan serta penyelesaian terhadap permohonan kami ini," jelas beliau.
Dalam pada itu, Hari Terbuka Aidilfitri beliau meriah dengan suasana orang ramai yang hadir daripada pelbagai bangsa dan agama termasuk kehadiran pelbagai pemimpin-pemimpin.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta ketua-ketua jabatan yang hadir. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery & George Embie