Kunjungan Raya Santuni Komuniti, Perkukuh Perpaduan
MIRI: Kemeriahan Aidilfitri di Miri bukan sekadar dirai, malah dimanfaatkan sebagai ruang menyantuni rakyat apabila amalan kunjung-mengunjung terus memperkukuh perpaduan serta merapatkan jurang antara pemimpin dan masyarakat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew turun padang mengadakan kunjungan Hari Raya ke kediaman ketua masyarakat, ketua kaum serta veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Piasau di sekitar kawasan ini pada Isnin.
Beliau bersama rombongan mengunjungi 14 buah rumah pada hari ketiga Aidilfitri, termasuk kediaman Penghulu Samad, Ketua Kaum Amin di Kampung Lereng Bukit, Ketua Kaum Darahaman serta Robiah di Kampung Pulau Melayu, Zeleha dan Rajemah Junaidi di Kampung Wireless, selain rakan-rakan beragama Islam yang lain.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, kunjungan seumpama ini bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan, malah membuka ruang interaksi lebih dekat dengan rakyat serta menghargai peranan penting ketua masyarakat dan ketua kaum dalam memacu pembangunan komuniti.
“Tradisi ini juga membantu kita memahami kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan masyarakat Sarawak,” katanya.-EDISI UKAS