Robotik Antarabangsa Perkasa STEM, Promosi Sarawak Ke Persada Dunia
MIRI: Penganjuran “Borneo International Robot Tournament 2026” membuktikan komitmen berterusan Sarawak dalam memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi selaras aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Majlis Perasmian Pertandingan Robomission Battle LEGO Education SPIKE Prime yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini pada Khamis menghimpunkan penyertaan pelajar tempatan dan antarabangsa sekali gus menjadikan Miri sebagai platform pembangunan bakat robotik bertaraf global.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menerusi teks ucapan yang disampaikan wakilnya berkata, teknologi bukan sekadar berkaitan mesin, tetapi melibatkan kreativiti dan keupayaan manusia dalam menyelesaikan cabaran dunia sebenar.
Menurut beliau, tema “Robots Meet Culture” amat signifikan kerana menggabungkan inovasi teknologi dengan identiti budaya serta warisan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Penganjuran kejohanan ini memperlihatkan kesungguhan Sarawak dalam melengkapkan generasi muda dengan kemahiran masa depan, keyakinan diri serta daya saing global,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kejohanan kali ini berjaya menarik lebih 260 pasukan dengan 280 penyertaan kategori dari pelbagai negara dan wilayah, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab pembangunan bakat STEM di rantau ini.
Tambah beliau, pertandingan tersebut kini berkembang sebagai platform antarabangsa yang diiktiraf dan berperanan mempromosikan Sarawak ke persada dunia menerusi gabungan elemen teknologi, pendidikan dan pelancongan.
Antara kategori dipertandingkan tahun ini termasuk kategori baharu Robosumo (SPIKE Prime) dan League of Mecha-Clash (LOM) Matrix.
Sementara itu, dalam teks ucapan Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli yang disampaikan wakilnya, beliau menyifatkan pertandingan tersebut sebagai platform penting yang menggabungkan pembelajaran, inovasi dan kerjasama dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, sebanyak 56 sekolah dari seluruh Sarawak mengambil bahagian menerusi 96 pasukan, mencerminkan peningkatan minat serta keyakinan institusi pendidikan terhadap pembangunan STEM.
Katanya, pendidikan STEM memainkan peranan penting dalam menyediakan pelajar dengan kemahiran inovasi, pemikiran kreatif dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi semasa.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan teknologi perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan identiti budaya dan nilai masyarakat sebagaimana diketengahkan menerusi tema pertandingan tahun ini.
Pertandingan robotik antarabangsa kali keempat anjuran SMK Chung Hua (CF) Miri itu diadakan sempena Program Menyemarak STEM dan Robotik Tahun 2026 selepas kejayaan penganjuran “Borneo International Robot Football 2019”, “Borneo International Robot Tournament 2024” dan “Borneo International Robot Tournament 2025”.
Ketiga-tiga edisi terdahulu berjaya memperoleh pengiktirafan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) peringkat antarabangsa daripada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pertandingan Robomission Battle LEGO Education SPIKE Prime melibatkan enam kategori dan terbuka kepada peserta berusia antara sembilan hingga 21 tahun dari Malaysia serta luar negara termasuk Amerika Syarikat, China, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, India, Rusia, Jerman, Kanada, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Vietnam, Indonesia dan Filipina.
Secara keseluruhan, pertandingan tersebut melibatkan 288 pasukan dengan kira-kira 800 peserta yang dipimpin guru dan mentor masing-masing, manakala jumlah keseluruhan peserta serta pegawai dari dalam dan luar negara dianggarkan mencecah antara 1,000 hingga 1,200 orang.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Kwang Law yang mewakili Pengarah Pendidikan Sarawak, Kr. Yee Chung Meng mewakili Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, Pengetua SMK Chung Hua (CF) Miri, Lai Jia Ling, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Grispin Sahah serta Sales Manager Sasbadi Learning Solutions, Eric Wong Chun Keit.-EDISI UKAS