Dialog Isu Tanah Jalan Gedong-Simunjan Pastikan Kebajikan Penduduk Terpelihara
SIMUNJAN: Satu sesi dialog berkaitan projek menaik taraf Jalan Gedong-Simunjan (Seksyen B) telah diadakan di Pejabat Daerah Simunjan bagi membincangkan isu-isu tanah melibatkan kawasan projek berkenaan.
Sesi dialog tersebut dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris dan turut disertai wakil Jabatan Tanah dan Survei serta Jabatan Kerja Raya Sarawak selaku agensi pelaksana projek, selain pihak kontraktor dan penduduk yang terlibat.
Menurut Awla, sesi dialog itu penting bagi memastikan segala isu berkaitan pengambilan tanah dan sempadan kawasan dapat diselesaikan secara teratur serta mengambil kira kepentingan rakyat.
“Kerajaan sentiasa komited memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan lancar tanpa mengabaikan kebajikan dan hak penduduk yang terlibat,” katanya selepas mempengerusikan sesi dialog tersebut pada Khamis.
Beliau berkata projek berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk khususnya dari segi kemudahan perhubungan dan jaringan jalan raya yang lebih selesa serta selamat.
“Projek ini bukan sahaja akan meningkatkan aksesibiliti penduduk, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan Simunjan,” ujarnya.
Perbincangan dalam sesi itu turut tertumpu kepada perkara berkaitan pengambilan tanah, penyelarasan pelaksanaan projek serta langkah bagi memastikan kerja pembinaan dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Naik taraf Jalan Gedong-Simunjan (Seksyen B) itu merupakan projek secara reka dan bina yang melibatkan pembinaan laluan baharu sepanjang 5.88 kilometer mengikut piawaian Jalan R3 JKR dengan empat lorong dua hala.
Skop projek turut merangkumi pembinaan dua jambatan konkrit bertetulang merentasi Sungai Simunjan dan Sungai Ngeli, kerja-kerja sistem saliran, pemasangan lampu jalan, pengurusan trafik serta perlindungan dan pengalihan utiliti.
Projek kendalian Jabatan Kerja Raya Sarawak itu dilaksanakan dengan kos keseluruhan RM226.7 juta dan tempoh kontrak selama 36 bulan bermula 22 Disember 2025 hingga 21 Disember 2028.
Dalam sesi dialog tersebut, penduduk turut diberi peluang mengemukakan pandangan, pertanyaan dan cadangan berkaitan isu tanah di lokasi projek supaya penyelesaian dapat dicapai secara bersama.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad serta wakil penduduk dari Kampung Sungai Jong, Kampung Tebuan Iban, Kampung Mengeli dan Kampung Sekendu. -EDISI UKAS