Projek RTP Tingkat Kemudahan Sukan SJK(C) Tung Kwong
SARIKEI: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pembinaan gelanggang bola keranjang di SJK(C) Tung Kwong dilaksanakan bagi memperkukuh pembangunan sukan sekolah serta menyokong usaha melahirkan pelajar yang aktif, berdaya saing dan seimbang dari aspek akademik serta kokurikulum.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, projek tersebut bukan sahaja meningkatkan kemudahan sukan sekolah, malah menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan tapak projek RTP pembinaan gelanggang bola keranjang di SJK(C) Tung Kwong pada Khamis.
Menurut beliau, kerja pembinaan kemudahan tersebut sedang giat dilaksanakan dan dijangka memberi manfaat sepenuhnya kepada warga sekolah setelah siap kelak.
Tambah beliau, penyediaan infrastruktur sukan yang lebih baik mampu menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam kegiatan kokurikulum selain memupuk budaya hidup sihat.
Katanya, kemudahan tersebut juga berpotensi melahirkan lebih ramai pelajar berbakat yang mampu mewakili sekolah dan daerah dalam bidang bola keranjang pada masa hadapan.
Pelaksanaan projek RTP itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan pendidikan dan kemudahan sukan sekolah ke arah melahirkan generasi pelajar yang aktif, sihat dan berdaya saing.-EDISI UKAS