Kerajaan Sarawak Salur Bantuan Utiliti Lebih RM376 Juta Ringankan Beban Rakyat
KUCHING: Keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat terus diterjemahkan menerusi pelaksanaan bantuan utiliti bernilai lebih RM376 juta tahun ini, melibatkan diskaun bil elektrik dan subsidi bekalan air di seluruh negeri.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai langkah berterusan kerajaan negeri dalam membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup semasa.
“Kerajaan Sarawak telah memberi diskaun sebanyak 25 peratus kepada bil bekalan elektrik bermula dari April hingga Disember tahun ini yang berjumlah keseluruhan sebanyak RM188.1 juta yang memberi manfaat kepada 715,000 pengguna seluruh negeri.
“Kita juga masih meneruskan diskaun RM5 kepada semua pengguna bagi bekalan air untuk 11,300 liter pertama dan ia masih berterusan yang mana jumlahnya pun hampir menyerupai jumlah elektrik tadi iaitu RM 188.75 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Dato Sri Julaihi menambah, langkah itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat di negeri ini.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang dan Datuk Ibrahim Baki.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Muhammad Rais Sanusi