Pemimpin Bersama Komuniti Beting Maro Perkukuh Perpaduan, Rancang Pembangunan Setempat
BETING MARO: Program Pemimpin Bersama Komuniti Beting Maro terus berperanan sebagai wadah penting dalam memperkukuh hubungan erat antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi, di samping membincangkan keperluan pembangunan setempat.
Program yang berlangsung di Kampung Batang Maro pada Rabu itu menghimpunkan penduduk bersama kepimpinan setempat dalam suasana mesra dan penuh semangat perpaduan, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mendekati rakyat secara langsung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor menzahirkan kesyukuran kerana dapat turun padang bertemu dan beramah mesra dengan penduduk.
Beliau menegaskan bahawa perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum dan agama merupakan asas penting kepada kestabilan serta kemajuan Sarawak.
“Pembangunan yang dinikmati hari ini adalah hasil dasar kerajaan negeri yang berkesan, termasuk pelaksanaan projek infrastruktur serta usaha menjana hasil melalui sektor tenaga hijau dan solar,” jelasnya.
Tambah beliau, pelaksanaan projek strategik seperti penaiktarafan jalan pesisir serta pembinaan Jambatan Batang Lupar telah memberi impak besar kepada rakyat dengan memendekkan masa perjalanan dan merancakkan aktiviti ekonomi.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebuah Masjid Daerah Pusa akan dibina dengan kos RM20 juta, selain merancang penyediaan dewan futsal berbumbung di setiap kampung bagi menyokong pembangunan belia dan komuniti.
Program tersebut turut menjadi platform perbincangan mengenai potensi sektor pertanian dan sumber alam yang boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan pendapatan penduduk serta memperkukuh ekonomi luar bandar.
Turut hadir, Pemanca Daerah Pusa, Rosli Uji, Penghulu Kampung Spinang, Semarang dan Batang Maro, Musa Zin, Penghulu Zon Pusa, Bujang Beni,
Ketua Pemuda PBB Beting Maro, Awang Nashfarini Awang Sarbini serta Ketua Wanita PBB Beting Maro, Hajijah Lueng.-EDISI UKAS