Semakan Empat Adat Utama Sarawak Kini Di Peringkat Akhir
KUCHING: Semakan semula empat adat utama masyarakat pribumi Sarawak melibatkan Adat Iban, Bidayuh, Kenyah dan Kayan kini memasuki peringkat akhir selepas draf berkaitan selesai disahkan dan bersedia untuk dikemukakan kepada Pejabat Peguam Besar Negeri (SAGC) bagi semakan lanjut.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, semakan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pemodenan adat yang memberi tumpuan kepada pendekatan mentafsir semula, menambah baik serta menggubal peruntukan baharu agar adat terus relevan dengan perubahan sosial dan keperluan masyarakat masa kini.
“Draf Adat Iban telah disahkan oleh semua Temenggong masyarakat Iban pada 27 Februari 2026 di Sibu, manakala draf Adat Bidayuh disahkan oleh pemimpin masyarakat Bidayuh pada 30 April 2026 di Serian.
“Bagi Adat Kenyah dan Kayan pula, kedua-duanya turut menerima pengesahan daripada pemimpin masyarakat masing-masing pada 15 dan 16 April lalu di Miri,” katanya dalam sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Tambah beliau, kesemua draf tersebut seterusnya telah menerima pengesahan Ahli-ahli Majlis semasa Mesyuarat Ahli Majlis Adat Istiadat Sarawak pada 6 Mei lalu dan kini bersedia untuk dikemukakan kepada SAGC untuk proses semakan seterusnya.
Perkembangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri melalui Majlis Adat Istiadat Sarawak dalam memastikan adat masyarakat pribumi terus dipelihara, diperkasa serta disesuaikan dengan keperluan semasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Adat Istiadat Sarawak turut sedang menyediakan nota penjelasan bagi adat yang disemak bagi meningkatkan kefahaman pengamal, penyelidik dan masyarakat terhadap kandungan adat tersebut.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Hazrin Sunaini