Rekod Perkahwinan Adat Bakal Boleh Diakses Melalui SarawakPass
KUCHING: Rekod perkahwinan dan perceraian adat masyarakat pribumi di Sarawak bakal boleh diakses secara dalam talian menerusi profil SarawakPass masing-masing susulan pelaksanaan Sistem Elektronik Perkahwinan Anak Negeri Versi 2 oleh Majlis Adat Istiadat Sarawak.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, inisiatif digital tersebut merupakan antara usaha transformasi teknologi yang sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh pemeliharaan adat, budaya dan tradisi masyarakat pribumi di negeri ini.
Menurut beliau, melalui penambahbaikan sistem berkenaan, sijil perkahwinan dan perceraian adat akan dapat diakses secara digital oleh individu berkaitan dengan lebih mudah dan sistematik.
“Dengan inisiatif ini, orang ramai akan mempunyai akses digital yang lebih mudah terhadap rekod Perkahwinan dan Perceraian Adat menerusi profil SarawakPass masing-masing,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Tambah beliau, selain Sistem Elektronik Perkahwinan Anak Negeri Versi 2, Majlis Adat Istiadat Sarawak turut melaksanakan projek Sistem Pengkatalogan Tradisi Lisan Versi 2 yang memberi tumpuan kepada penambahbaikan pengurusan data dan dokumentasi adat.
Jelasnya, projek tersebut penting dalam usaha memelihara tradisi lisan, pengetahuan adat dan budaya yang semakin terancam dalam bentuk digital, selain memperkukuh dokumentasi serta pengurusan berpusat berkaitan adat di Sarawak.
Dalam perkembangan lain, Majlis Adat Istiadat Sarawak juga telah menubuhkan Seksyen Budaya, Tradisi dan Sejarah pada tahun ini bagi memperkukuh usaha mempromosi serta meningkatkan pemahaman terhadap adat dan warisan masyarakat pribumi di negeri ini.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Hazrin Sunaini