Tiga Kapal Peronda Baharu Perkukuh Kawalan Perairan Sarawak
KUCHING: Tiga kapal peronda baharu kelas Beting sepanjang 40 meter bakal mula beroperasi tahun ini bagi memperkukuh keupayaan operasi serta meningkatkan kawalan keselamatan perairan Sarawak, termasuk meluaskan liputan rondaan ke kawasan strategik seperti Beting Patinggi Ali.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh keselamatan maritim melalui penambahbaikan secara progresif terhadap keupayaan agensi penguatkuasaan negeri.
Menurut beliau, kapal peronda baharu itu dijadual dilancarkan oleh Premier Sarawak tahun ini dan dijangka meningkatkan keberkesanan operasi rondaan serta kesiapsiagaan keselamatan perairan negeri.
“Bagi meningkatkan lagi keupayaan operasi agensi, tiga kapal peronda baharu kelas Beting berukuran 40 meter akan ditauliahkan tahun ini dan berkeupayaan memperluaskan kawasan rondaan ke lokasi strategik termasuk Beting Patinggi Ali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Tambah beliau, ketika ini Pengawal Pantai Sarawak mengendalikan sebanyak 12 aset rondaan bagi menyokong operasi keselamatan dan penguatkuasaan di seluruh perairan Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengawal Pantai Sarawak turut melaksanakan Op Pukat secara berterusan bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan haram, pencerobohan dan pelanggaran undang-undang maritim yang boleh mengancam sumber perikanan serta kedaulatan negeri.
Sejak tahun 2025, sebanyak 107 Op Pukat berjaya dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh keselamatan maritim Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Hazrin Sunaini