190 Daripada 373 Persimpangan Lampu Isyarat Di Sarawak Dinaik Taraf Kepada Sistem Pintar
KUCHING: Sebanyak 190 daripada 373 persimpangan lampu isyarat di seluruh Sarawak kini berjaya dinaik taraf kepada sistem lampu isyarat pintar, sebagai sebahagian usaha memperkukuh pengurusan trafik dan meningkatkan kelancaran aliran kenderaan di negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, usaha itu dilaksanakan secara berperingkat menerusi kerjasama antara kementeriannya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan sistem pengurusan trafik yang lebih moden, cekap dan bersepadu dapat direalisasikan.
“Sehingga 30 April 2026, sebanyak 190 daripada 373 persimpangan lampu isyarat di seluruh Sarawak telah berjaya dinaik taraf kepada sistem lampu isyarat pintar.
“Usaha menaik taraf baki 183 persimpangan sedang giat dilaksanakan ke arah mencapai rangkaian pengurusan trafik yang saling berhubung, bersepadu dan lebih efisien di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Sementara itu jelasnya, pelaksanaan sistem tersebut penting berikutan jumlah kenderaan berdaftar di Sarawak terus meningkat saban tahun, sekali gus menyebabkan pertambahan jumlah trafik khususnya pada waktu puncak dan musim perayaan.
Tambah beliau, Kuching merekodkan jumlah persimpangan lampu isyarat pintar tertinggi dengan 98 persimpangan, diikuti Miri (30), Bintulu (24), Sibu (13), Samarahan (8), Sarikei (7), Serian (4), Mukah (3), Kapit (2) dan Limbang (1).
Katanya lagi, pengurusan trafik yang cekap bukan sahaja membantu melancarkan aliran trafik, malah mengoptimumkan penggunaan infrastruktur sedia ada serta meningkatkan mobiliti pengguna jalan raya di seluruh negeri.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Gambar: Hazrin Sunaini