Peralihan Kluster Perindustrian Bintulu Dilancar Jun Ini, Sokong Industri Rendah Karbon
SINGAPURA: Kerajaan Sarawak membuktikan komitmennya yang jelas dalam menyokong transformasi industri rendah karbon apabila bakal melancarkan Peralihan Kluster Perindustrian (TIC) di Bintulu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelancaran Bintulu TIC, inisiatif dilaksanakan dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia (WEF) akan diadakan di Kuching pada bulan hadapan.
Katanya, transisi tersebut bukan sekadar usaha untuk menyahkarbonkan satu kilang atau satu fasiliti pada satu masa, sebaliknya satu pendekatan strategik untuk menyusun semula dan mentransformasikan keseluruhan sistem industri ke arah masa depan rendah karbon.
“Koridor Bintulu-Samalaju kini menempatkan industri gas, gas asli cecair (LNG), petrokimia, hidrogen, baja, dan tenaga boleh diperbaharui.
“TIC menyelaraskan semuanya di bawah satu visi industri rendah karbon — pengeluaran hidrogen, penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), ekonomi kitaran, dan pembuatan digital yang beroperasi sebagai satu sistem. Ini mengurangkan risiko dan mempercepatkan pelaksanaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Sarawak and the Region: A Green Economy Being Built in Real Time’ pada Philanthrophy Asia Summit 2026 di Sands Expo and Convention Centre, Marina Bay Sands, Singapura pada Isnin.
Menurut Premier Sarawak, kerjasama kerajaan negeri dengan WEF bagi projek Bintulu TIC itu amat penting di mana ia akan menghimpunkan rangkaian pakar global untuk memindahkan pengetahuan dan membuka peluang kerjasama baharu, memastikan kluster ini dibina berasaskan piawaian dunia dari segi kelestarian dan tadbir urus.
“Ini memberikan keyakinan yang dapat mengurangkan risiko pelaburan dan mempercepatkan kemajuan. Ia memberi isyarat kepada dunia bahawa Sarawak bukan sekadar mengadaptasi amalan terbaik, tetapi turut menciptanya bersama,” ujarnya.
Terdahulu, pemilihan Bintulu sebagai TIC pertama Malaysia oleh WEF telah diumumkan oleh Premier Sarawak semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Hidrogen Asia Dunia 2025 di Tokyo.
Berucap lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan Sarawak berjaya mengurangkan intensiti pelepasan grid elektrik sebanyak 73 peratus dari tahun 2010 hingga 2022 melalui peralihan terancang kepada tenaga hidro boleh diperbaharui.
Selain itu katanya, Sarawak juga telah melepasi sasaran 2030 iaitu 60 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam kapasiti terpasang.
“Projek Hidroelektrik Baleh berkapasiti 1,285 megawatt dijangka mula beroperasi menjelang 2030. Kami sedang meningkatkan kapasiti kepada 10 gigawatt menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035,” katanya.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Sarawak juga sedang melaksanakan transformasi yang lebih luas, di luar sektor tenaga dengan mengembangkan ekonominya sambil secara beransur-ansur mengurangkan pelepasan karbon.
Katanya, Sarawak kini muncul sebagai negeri ‘net-negative’ dengan memanfaatkan hutan dan tanahnya untuk menyerap lebih banyak karbon daripada jumlah yang dilepaskan oleh ekonomi negeri.
“Cabaran utama kami bukan sekadar mencapai sifar bersih (net zero), tetapi mengekalkan status ‘net-negative’ ketika ekonomi terus berkembang dan berindustri.
“Sebab itulah Strategi Sifar Bersih dan Pelan Karbon Sarawak memberi tumpuan kepada cara pertumbuhan ekonomi dilaksanakan — mengurangkan pelepasan karbon sambil mewujudkan industri baharu, menjana pekerjaan berkualiti, memperkukuh daya saing ekonomi dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang,” jelas beliau lagi.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Ts. Dr. Nurleyna Yunus dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd Malseni Jamal. - EDISI UKAS