Sarawak Teroka Teknologi Baharu Ubah Air Laut Untuk Perdagangan Karbon
SINGAPURA: Sarawak sedang meneroka teknologi baharu yang berupaya memproses air laut untuk perdagangan karbon.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau telah meminta Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat daripada Singapura bagi meneroka teknologi baharu tersebut.
“Ini adalah teknologi baru dan saya minta kementerian energy kita untuk bekerjasama dengan mereka.
“Kalau ini berlaku, ia adalah satu-satunya pertama dalam dunia di mana air masin dibersihkan dan menjadi platform untuk carbon trading. Ini adalah kerjasama kita dengan Singapura,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah UKAS dan TVS selepas menyampaikan ucaptama pada Philanthrophy Asia Summit 2026 di Sands Expo and Convention Centre, Marina Bay Sands, Singapura pada Isnin.
Sementara itu tambahnya, negara luar tertarik dengan kejayaan Sarawak dalam mengimbangkan pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Jelas Premier, dasar hijau serta teknologi baharu yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri telah memberi imej positif kepada Sarawak di mata dunia.
Menurutnya, strategi agresif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam mengawal pelepasan karbon kini diakui oleh negara-negara luar.
“Dunia hari ini telah melihat Sarawak, kalau tidak mereka tidak akan menjemput mereka dan minta kita kongsikan apa yang telah dibangunkan khususnya dalam tenaga diperbaharui dan juga peranan-peranan teknologi baharu dalam mengubah landskap ekonomi kita selari dengan pembangunan global,” jelasnya.
Turut hadir semasa sidang media tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd Malseni Jamal. - EDISI UKAS