Kerajaan Sarawak Perketat Tindakan Terhadap Kontraktor Gagal Siap Projek RTP
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperketat tindakan terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) apabila syarikat terlibat boleh dikenakan pembatalan pendaftaran sehingga tiga tahun, manakala pemilik serta ahli lembaga pengarah disenarai hitam antara tiga hingga lima tahun.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, langkah tegas itu dilaksanakan bagi memastikan setiap projek kerajaan disiapkan mengikut jadual selain meningkatkan akauntabiliti kontraktor dalam pelaksanaan projek pembangunan.
Menurut beliau, tindakan tersebut diambil susulan isu kelewatan dan kegagalan kontraktor menyiapkan projek RTP yang dibangkitkan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
“Sebarang penamatan kontrak akibat kegagalan kontraktor akan menyebabkan pendaftaran syarikat dibatalkan selama tiga tahun.
“Selain itu, ahli lembaga pengarah dan pemilik ekuiti syarikat turut akan disenarai hitam selama tiga hingga lima tahun dan tidak dibenarkan terlibat dengan mana-mana syarikat lain yang memohon projek kerajaan dalam tempoh hukuman tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, pada Isnin.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak turut menggunakan Sistem Pendaftaran dan Penarafan Kontraktor dan Perunding (CoRRIS) bagi memantau projek yang mengalami kelewatan kritikal akibat kelemahan kontraktor atau perunding.
Katanya, syarikat yang direkodkan di bawah kategori ‘Critically Delayed’ akan disekat sepenuhnya daripada membuat sebarang urusan berkaitan pendaftaran sepanjang tempoh kelewatan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan komited menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) RTP serta proses penamatan kontrak bagi memastikan pelaksanaan projek lebih berkesan tanpa menjejaskan pematuhan undang-undang.
Pada masa sama, beliau memaklumkan kerajaan sedang melaksanakan kajian semula keperluan jawatan termasuk jawatan teknikal di semua kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan tenaga kerja dapat dioptimumkan secara strategik.
Menurutnya, sebelum ini kerajaan telah meluluskan sebanyak 556 jawatan teknikal berasaskan caruman bagi seluruh pentadbiran Sarawak pada tahun 2018 dan 2020, selain tambahan 319 jawatan teknikal untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada tahun 2024. -EDISI UKAS