180 Asnaf, Pelajar Tahfiz Terima Agihan Daging Korban di Asajaya
ASAJAYA: Seramai 180 penerima terdiri daripada golongan asnaf, pelajar tahfiz dan penduduk kampung menerima manfaat menerusi program agihan daging korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sini, pada Khamis.
Hadir memeriahkan program tersebut ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Program ibadah korban itu melibatkan penyembelihan tiga ekor lembu sumbangan pusat tahfiz yang kemudiannya diagihkan secara tersusun dan sistematik kepada penduduk Kampung Asajaya Ulu, Kampung Asajaya Lot, Kampung Asajaya Lot An-Najah, Kampung Asajaya Tengah dan Kampung Asajaya Laut.
Setiap penerima menerima satu pek daging korban seberat satu kilogram bagi memastikan pengagihan dapat dilaksanakan secara adil dan menyeluruh kepada golongan sasaran termasuk 105 pelajar tahfiz serta keluarga yang memerlukan.
Penganjuran program berkenaan mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan pengorbanan dalam kalangan masyarakat setempat selain memperkukuh hubungan silaturahim antara institusi pendidikan, kepimpinan komuniti dan penduduk kampung.
Selain menyemarakkan penghayatan ibadah korban, program itu turut menjadi platform memperkasakan nilai perpaduan serta budaya saling membantu dalam komuniti selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak yang inklusif dan sejahtera.
Rata-rata penerima turut melahirkan penghargaan atas keprihatinan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, yang disifatkan mampu meringankan beban golongan memerlukan di samping mengeratkan ukhuwah masyarakat setempat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin.-EDISI UKAS