KUCHING: Kuching City FC (KCFC) mengumumkan lanjutan kontrak kepada Ketua Jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak selama tiga tahun yang akan menyaksikan beliau terus membimbing pasukan sehingga tahun 2029.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi kenyataan rasmi kelab itu hari ini yang menyifatkan sambungan kontrak itu sebagai tanda keyakinan penuh pihak pengurusan terhadap kepimpinan, dedikasi serta visi jangka panjang Aidil dalam memacu perkembangan KCFC sebagai sebuah pasukan yang kompetitif di peringkat tertinggi bola sepak Malaysia dan Asia.
Aidil yang berasal dari Singapura, mula dilantik sebagai Ketua Jurulatih Kuching City FC pada Ogos 2023 bagi menggantikan Irfan Bakti Abu Salim.
Sejak mengambil alih pasukan, beliau berjaya membawa perubahan positif kepada skuad The Cats dan membantu memperkukuhkan identiti permainan pasukan.
Menurut Pengerusi KCFC Dato Fazzrudin Abdul Rahman dalam kenyataan itu, Aidil telah memainkan peranan penting dalam membentuk budaya berpasukan yang lebih kukuh selain mencipta pelbagai pencapaian membanggakan untuk kelab sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Ujarnya, pihak pengurusan percaya kesinambungan kepimpinan beliau akan memberikan kestabilan dan momentum positif dalam usaha membina masa depan yang lebih gemilang buat pasukan serta seluruh penyokong KCFC.
Bagi musim 2024-2025, Aidil turut menerima pengiktirafan Jurulatih Terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) atas kejayaannya mengemudi pasukan, termasuk membantu meningkatkan prestasi KCFC sehingga muncul sebagai antara pencabar utama dalam saingan Liga Super Malaysia.
Dalam masa sama jelas Dato Fazzrudin, KCFC merakamkan penghargaan kepada para penyokong, penaja dan rakan strategik yang terus memberikan sokongan terhadap perjalanan kelab tersebut.
Beliau turut menegaskan komitmen kelab untuk terus melangkah lebih jauh bersama Aidil dalam merealisasikan aspirasi dan hala tuju jangka panjang pasukan.-EDISI UKAS