RMM Ranggau Valley Tawar Kediaman Bernilai Tinggi Kepada Penduduk Limbang
LIMBANG: Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Ranggau Valley bakal meningkatkan taraf kehidupan penduduk di Limbang menerusi penyediaan kediaman baharu yang lebih selesa, teratur dan bernilai tinggi, selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak memperluas akses pemilikan rumah berkualiti kepada rakyat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata projek tersebut merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam memastikan rakyat menikmati persekitaran kediaman yang lebih kondusif serta memiliki aset yang mampu menjamin kesejahteraan keluarga pada masa hadapan.
Menurut beliau, kediaman di RMM Ranggau Valley menawarkan ruang yang lebih luas dan selesa berbanding kediaman sedia ada, selain memberi nilai hartanah yang jauh lebih tinggi kepada pemilik.
“Projek RMM Ranggau Valley ini jelas menawarkan ruang kediaman yang lebih luas dan selesa berbanding kediaman sedia ada selain membolehkan keluarga yang terlibat menikmati persekitaran yang lebih teratur serta memiliki aset yang lebih bernilai untuk masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sesi Libat Urus RMM Ranggau Valley Limbang pada Khamis.
Jelasnya, pelaksanaan projek tersebut menggunakan konsep ‘rumah diganti dengan rumah’, di mana pemilik yang layak akan menerima sebuah rumah baharu sebagai gantian tanpa perlu menanggung kos tambahan.
Katanya, nilai semasa rumah di RMM Ranggau Valley dianggarkan antara RM353,000 hingga RM361,000 seunit, jauh lebih tinggi berbanding nilai kediaman sedia ada yang dianggarkan antara RM51,923 hingga RM78,100.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bantuan bagi memastikan proses perpindahan dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa membebankan penduduk yang terlibat.
Antara bantuan yang disediakan termasuk subsidi kepada pembeli, kos penyambungan utiliti sebanyak RM1,500 bagi setiap rumah, bantuan kos perpindahan RM1,500 serta pembiayaan penuh kos berkaitan urusan perjanjian seperti Cost Exchange Agreement dan Deed of Receipt and Reassignment.
Selain itu, kos penukaran pembiayaan kepada Mutiara Mortgage berjumlah RM2,500 turut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Tambah beliau, segala bantuan yang disediakan bertujuan memastikan setiap keluarga dapat berpindah ke kediaman baharu dengan lebih mudah serta menikmati kehidupan yang lebih selesa dalam persekitaran yang lebih tersusun dan berkualiti.
Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Abdul Yakub Arbi, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Fathi Hambali, Ketua Pegawai Eksekutif Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd. Awang Irwan Awang Shawal serta Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise. -EDISI UKAS