MIRI: WAK Miri Festival 2026 bakal kembali memeriahkan bandar raya Miri dari 19 hingga 21 Jun ini dengan penganjuran 45 acara unik yang menghimpunkan pelbagai elemen seni, budaya, gaya hidup dan komuniti, sekali gus memperkukuh kedudukan Miri sebagai destinasi pelancongan dan hab industri kreatif di utara Sarawak.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata festival yang memasuki edisi ketiga itu telah berkembang menjadi antara acara tahunan penting bandar raya berkenaan yang berjaya menghidupkan ruang awam menerusi pelbagai aktiviti seni, muzik dan perkongsian budaya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media pengumuman program rasmi WAK Miri Festival 2026 yang berlangsung di Dewan Bandaraya Miri pada Jumaat.
Menurut beliau, festival tersebut bukan sahaja memperkukuh landskap kreatif Miri, malah membuka peluang kepada penggiat seni tempatan dan serantau untuk mengetengahkan bakat serta membina jaringan kerjasama yang lebih luas.
Tambahnya, sebanyak 25 kolaborator, 13 lokasi acara dan beberapa hotel tempatan akan terlibat dalam menjayakan festival tahun ini, sekali gus dijangka memberi impak positif kepada industri kreatif serta sektor pelancongan bandar raya tersebut.
Festival yang bertemakan “Daripada Komuniti, Untuk Komuniti” itu dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), dengan Pusat Kraftangan Miri terus menjadi lokasi utama penganjuran selain beberapa lokasi lain di sekitar bandar raya Miri.
Antara acara utama yang bakal berlangsung ialah Festival Gendang Sarawak Zon Bintulu-Miri yang menampilkan persembahan gendang tradisional, Bermukun dan Bertandak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Turut menjadi tarikan ialah Kempen Kutipan Dana GoBald 2026 anjuran Persatuan Kanak-Kanak Sarawak yang menggalakkan orang ramai mencukur kepala sebagai tanda solidariti terhadap pesakit kanser kanak-kanak.
Selain itu, artis kelahiran Miri, Naki, dijadualkan kembali ke tanah air untuk mengadakan persembahan muzik berkonsepkan penceritaan dan nostalgia, manakala Inkzone Tattoo Culture Festival bakal menghimpunkan penggiat seni tatu tempatan serta antarabangsa menerusi demonstrasi, bengkel dan persembahan sepanjang festival berlangsung.
Pengunjung turut berpeluang mengunjungi MYY Vintage, Arts & Collectors Market yang menghimpunkan kira-kira 30 vendor dan pengusaha kreatif dari Miri serta Brunei, selain menyertai pelbagai aktiviti sukan dan gaya hidup menerusi WAK Festival Pickleball Challenge dan Pickled on the Streets.
Beberapa pameran khas seperti “All About Arts”, “Wild About Nature: Closer to Nature” dan “Celebrating Malaysia Through the Lens” juga akan diadakan bagi menampilkan hasil karya artis serta jurugambar profesional.
Festival berkenaan turut menjalinkan kerjasama dengan World National & World Asia Tapas Competition, Exhibition, Festival & Seminar 2026 (WATCEFS) yang berlangsung serentak di Miri bagi memperluaskan lagi tarikan pelancongan bandar raya tersebut.
Sementara itu, Pengurus Festival WAK, Brendan Chin berkata festival berkenaan menjadi platform untuk meraikan kreativiti warga Miri di samping membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih menghargai seni dan budaya dalam kehidupan seharian.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pelancongan dan Acara Perniagaan Majlis Bandaraya Miri (MBM), Kaunselor Kr. Sean Huang Hong Siong, ahli-ahli Majlis Bandaraya Miri serta rakan-rakan kolaborasi festival.- EDISI UKAS