LUNDU: Pendidikan masih 'senjata' paling ampuh untuk mengubah masa depan individu, keluarga dan masyarakat, justeru generasi muda khususnya di kawasan luar bandar perlu merebut pelbagai peluang yang disediakan Kerajaan Sarawak bagi membina masa depan yang lebih cemerlang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, Sarawak kini berada pada landasan pembangunan yang pesat dengan pelbagai peluang baharu dalam sektor ekonomi, teknologi dan industri berkemahiran tinggi, sekali gus memerlukan lebih ramai modal insan berkualiti untuk menerajui pembangunan negeri pada masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau menggesa anak-anak muda di kawasan Opar agar menjadikan pendidikan sebagai keutamaan dan terus melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi merebut peluang yang bakal tersedia dalam era pembangunan baharu Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Insentif Pendidikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar 2026 di CENTEXS Lundu, pada Jumaat.
Dalam majlis tersebut, seramai 129 pelajar dari kawasan DUN Opar yang melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda menerima bantuan insentif sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam menampung kos pengajian di institusi pengajian tinggi.
Menurut Billy, walaupun bantuan yang diberikan mungkin tidak besar dari segi nilai, ia mampu memberi impak yang signifikan kepada pelajar dalam memenuhi keperluan awal pengajian seperti pengangkutan, penginapan dan kelengkapan pembelajaran.
“Pendidikan bukan sahaja membuka peluang pekerjaan yang lebih baik, malah membentuk pemikiran, meningkatkan keupayaan membuat keputusan dan melahirkan individu yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negeri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para penerima agar tidak berhenti setakat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda semata-mata, sebaliknya terus meningkatkan tahap pendidikan dan kemahiran bagi memperkukuh daya saing dalam dunia yang semakin mencabar.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Niponi Undek, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, Setiausaha Majlis Daerah Lundu Wan Fauzi Wan Ismail serta Ketua Kampus CENTEXS Lundu Nor Ashikin Abdul Rahman. -EDISI UKAS