Pembangunan Luar Bandar Terus Jadi Keutamaan Kerajaan Sarawak
LIMBANG: Kerajaan Sarawak terus memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar menerusi pendekatan pembangunan menyeluruh yang merangkumi kawasan kampung, rumah panjang, pekan dan bandar bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pendekatan tersebut selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dan bandar.
“Premier kita ingin menumpukan kepada pembangunan daripada di kampung sehingga pembangunan di pekan-pekan dan pembangunan di bandar-bandar besar termasuk juga kita di Limbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ngiling Bidai 2026 di Rh. Imau pada Khamis.
Menurut beliau, pembangunan yang dilaksanakan secara inklusif penting bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan tiada kawasan yang tercicir daripada arus kemajuan negeri.
Pada majlis sama, beliau meluluskan beberapa permohonan kemudahan komuniti bagi Rh. Imau termasuk lima unit tangki air bernilai RM2,500 dan sistem pembesar suara (PA System) berjumlah RM2,500.
Selain itu, sebanyak 30 unit alat pemadam api turut diluluskan dengan peruntukan RM6,600 bagi meningkatkan tahap keselamatan penduduk rumah panjang berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja baik pulih atap rumah milik seorang penduduk, Romika Tanggi akan dilaksanakan menerusi peruntukan Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) tahun hadapan melibatkan kos RM12,000.
Dalam pada itu, beberapa cadangan pembangunan lain termasuk pembinaan jalan kebun dan jambatan akan dipertimbangkan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan MRP mengikut keutamaan semasa.
Turut hadir Pengerusi Majlis Daerah Limbang merangkap Ketua Pergerakan Pemuda PBB Bukit Kota Sufian Mohat, Tuai Rumah Imau Mandoh, Timbalan Ketua Pergerakan Wanita PBB Bukit Kota Noratijah Bakar, Ketua Pergerakan Sayap Belia Protem PBB Bukit Kota Mohd Adzri Adrus serta Pengerusi Pengelola Program Ngiling Bidai 2026 James Habol Koyor.-EDISI UKAS