Pelantikan Ketua Kaum Baharu Perkukuh Pentadbiran Kampung Piasau Utara
MIRI: Rosli Bagat @ Yusuf secara rasmi dilantik sebagai Ketua Kaum Kampung Piasau Utara bagi meneruskan peranan sebagai penghubung antara masyarakat dan kerajaan serta memastikan kelancaran pentadbiran komuniti.
Sijil pelantikan beliau disampaikan oleh Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang pada Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Ketua Kaum Daerah Miri di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Miri pada Jumaat.
Adam berkata Rosli dilantik menggantikan Allahyarham Hipni Sulong yang telah meninggal dunia.
Pelantikan itu berkuat kuasa dari 1 Jun 2026 hingga 31 Disember 2028 bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan kebajikan penduduk kampung.
Menurut beliau, proses pelantikan dipercepatkan bagi membolehkan Rosli segera memulakan tugas dan meneruskan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Rosli mampu meneruskan legasi kepimpinan terdahulu serta memperkukuh hubungan antara penduduk dan kerajaan.
Adam berkata Kampung Piasau Utara sentiasa memberikan kerjasama baik dalam pelaksanaan program pembangunan dan kemasyarakatan, dan berharap semangat itu dapat diteruskan demi kesejahteraan penduduk.
Beliau juga menggesa penduduk menyalurkan sebarang isu atau permasalahan melalui Ketua Kaum dan pihak berkaitan agar tindakan dapat diambil dengan lebih berkesan.
Sebagai Ketua Kaum, Rosli bertanggungjawab membantu urusan pentadbiran, menjaga kebajikan masyarakat, menyelesaikan pertikaian berkaitan adat, menggalakkan penyertaan penduduk dalam program kerajaan serta menjadi penghubung utama dengan agensi kerajaan.
Pelantikan itu diharap dapat memperkukuh pentadbiran komuniti serta menyokong usaha pembangunan dan kesejahteraan penduduk Kampung Piasau Utara.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Miri Bujang Rahman Seli, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Miri Edward Tawang, Pemanca Ujut Rahman dan Penghulu Kamarudin Reduan.– EDISI UKAS