TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Panglima 1 Divisyen Baharu
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat Panglima 1 Divisyen yang baharu, Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof di Astana Negeri Sarawak pada Rabu.
Pertemuan berkenaan diadakan bagi memperkenalkan Mejar Jeneral Mohd Sobirin secara rasmi susulan pelantikan beliau sebagai Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia yang berpangkalan di Kem Muara Tuang, Kota Samarahan.
Selain menjadi sesi suai kenal, pertemuan tersebut turut menyentuh pelbagai perkara berkaitan keselamatan negeri dan negara, termasuk perkembangan semasa di kawasan sempadan Sarawak, peranan Angkatan Tentera Malaysia dalam memastikan kestabilan dan keamanan negeri, serta cabaran keselamatan yang semakin kompleks di peringkat serantau dan global.
Turut dibincangkan ialah aspek pemerkasaan industri pertahanan negara, termasuk keupayaan penghasilan aset pertahanan tempatan seperti dron, peluru dan peralatan ketenteraan, di samping kebajikan anggota tentera, isu-isu nasional serta perkembangan geopolitik antarabangsa.
Dalam pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu, TYT Sarawak turut merakamkan penghargaan atas komitmen, profesionalisme dan kesiapsiagaan warga 1 Divisyen dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga kedaulatan serta keselamatan Sarawak.
Beliau serta isteri mendoakan agar Mejar Jeneral Mohd Sobirin diberikan kejayaan dalam memikul amanah serta terus memperkukuh kecemerlangan 1 Divisyen demi kepentingan negara dan rakyat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie