Projek Daro New Town Extension Fasa 2 Jadi Pemangkin Baharu Ekonomi Daro
DARO: Projek pembangunan Daro New Town Extension Fasa 2 dijangka siap sepenuhnya pada November 2026, sekali gus menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan sosioekonomi di daerah ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaksanaan projek tersebut bertujuan mewujudkan sebuah pusat aktiviti ekonomi baharu yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, memperkasa sektor keusahawanan serta menarik lebih banyak pelaburan ke Daro.
"Kejayaan pelaksanaan projek berkenaan turut melengkapkan pembangunan Fasa 1 yang telah siap dan kini beroperasi sepenuhnya sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan berperingkat di kawasan tersebut.
"Manakala, Fasa 2 ini merangkumi pembinaan 20 unit rumah kedai dua tingkat, 10 unit kedai mini dua tingkat serta 10 unit kotej industri yang disediakan bagi memenuhi keperluan usahawan tempatan," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek tersebut, pada Rabu.
Selain itu, Datuk Amar Awang Tengah menambah, projek tersebut turut melibatkan penyediaan kemudahan sokongan seperti tandas awam, pencawang elektrik, ruang terbuka serta kawasan tempat letak kereta bagi memastikan keselesaan dan kelancaran aktiviti perniagaan.
Jelasnya, projek ini dirancang secara menyeluruh bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat secara berterusan.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, sambutan terhadap pembangunan tersebut amat memberangsangkan apabila kesemua unit rumah kedai dan kedai mini yang ditawarkan telah mendapat tempahan awal.
"Ini sekali gus membuktikan potensi besar Daro sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) serta semua agensi yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut perancangan yang ditetapkan demi manfaat rakyat dan pembangunan menyeluruh Daro. -EDISI UKAS