Makan Malam Amal ‘Legends’ Dijangka Rancakkan Pelancongan dan Ekonomi Miri
MIRI: Penganjuran Makan Malam Amal ‘Legends’ pada 4 Julai depan dijangka memberi suntikan kepada sektor pelancongan, hospitaliti dan perniagaan tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan Miri sebagai destinasi penganjuran acara berkualiti di rantau ini.
Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad berkata program yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia itu berpotensi menarik kehadiran pengunjung dari Brunei Darussalam serta kawasan sekitar, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada bandar raya tersebut.
Jelasnya, Majlis Bandaraya Miri (MBM) menyambut baik penganjuran acara seni dan budaya yang bukan sahaja memperkayakan kehidupan masyarakat, malah mampu menjana aktiviti ekonomi melalui peningkatan jumlah pelancong dan pengunjung.
“Program seperti ini mampu memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti dan perniagaan tempatan di samping memperkukuh imej Miri sebagai bandar yang aktif menganjurkan acara berkualiti,” katanya dalam sidang media Makan Malam Amal ‘Legends’ di Dewan Bandaraya Miri pada Rabu.
Program berkenaan merupakan penganjuran kali keempat siri konsert amal “Legends” dan menjadi edisi pertama yang diadakan di Sarawak selepas kejayaan penganjurannya di Kuala Lumpur dan Sabah.
Selain menawarkan hiburan berkualiti, program tersebut turut membawa misi kebajikan bagi membantu artis veteran yang pernah memberikan sumbangan besar kepada industri seni dan hiburan negara.
Sementara itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Dato’ Freddie Fernandez berkata hasil daripada tiga penganjuran konsert amal “Legends” sebelum ini telah memberi manfaat kepada lebih 200 artis di seluruh negara.
Menurut beliau, Sarawak juga mempunyai ramai artis legenda yang telah banyak berjasa kepada industri hiburan tanah air dan sebahagian daripada mereka kini memerlukan sokongan kebajikan.
Makan Malam Amal ‘Legends’ bakal menampilkan barisan artis terkenal tanah air termasuk Datuk Zainal Abidin, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip dan Norshila Amin.
Mereka akan bergandingan dengan artis Sarawak iaitu Safar Ghaffar, Melissa Francis dan Timur Flores, selain persembahan khas pemain sape terkenal Anderson Kalang dan Hezekiah Asim yang bakal mengetengahkan keunikan warisan budaya Sarawak kepada para pengunjung.
Ariffin turut menyeru syarikat korporat, komuniti perniagaan dan orang ramai supaya bersama-sama menyokong inisiatif tersebut demi memastikan kebajikan artis veteran terus terbela.
Beliau berharap program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan serta mencapai matlamatnya dalam menghargai jasa penggiat seni yang telah banyak menyumbang kepada khazanah budaya negara.-EDISI UKAS