KUCHING: Atlet triatlon kebangsaan kelahiran Sarawak, Martyn Lim Wen Xuan sekali lagi mengharumkan nama negeri dan Malaysia di pentas antarabangsa apabila muncul juara keseluruhan Borneo100 Triathlon 2026 yang berlangsung di Sematan pada Ahad lepas.
Kejayaan itu hadir menerusi persembahan dominan Martyn yang mencatat masa keseluruhan 3 jam 51 minit, mengatasi saingan peserta dari dalam dan luar negara dalam kejohanan yang menghimpunkan atlet triatlon elit serantau dan antarabangsa.
Atlet berusia 26 tahun dari Kuching itu mempamerkan prestasi konsisten sepanjang perlumbaan apabila mengekalkan kedudukan kelompok hadapan sejak acara renang sebelum mencipta kelebihan menerusi disiplin berbasikal dengan catatan terpantas hari tersebut, iaitu 2 jam 3 minit 14 saat.
Beliau kemudian mengesahkan kejuaraan menerusi larian yang cemerlang apabila merekodkan masa 1 jam 18 minit 26 saat, sekali gus menjadi satu-satunya peserta utama yang mencatat masa bawah satu jam 20 minit dalam segmen berkenaan.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia mendominasi podium keseluruhan lelaki apabila Yap Qi Yi muncul naib juara dengan catatan 3 jam 55 minit 30 saat, manakala Thiang Chong Yoong melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan masa 4 jam 6 minit 8 saat.
Pencapaian Martyn turut memperkukuhkan reputasinya sebagai antara atlet pelbagai disiplin terbaik negara ketika ini.
Beliau merupakan anggota tetap kem triatlon kebangsaan dan telah mewakili Malaysia dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.
Sebelum ini, Martyn membantu Malaysia merangkul gelaran acara berganti-ganti campuran pada Kejohanan Piala Serantau Pembangunan Triatlon Dunia 2026 di Kampar bersama Sara Joy Chen, Yap Qi Yi dan Esther Joy Chen.
Beliau juga pernah mewakili negara pada Sukan SEA 2025 di Rayong, Thailand dengan menyumbang dua pingat gangsa menerusi acara berganti-ganti berpasukan duatlon lelaki dan berganti-ganti campuran.
Sementara itu, kategori wanita menyaksikan atlet Singapura, Choo Ling Er muncul juara keseluruhan dengan catatan masa 4 jam 11 minit 19 saat, diikuti Elaine Young di tempat kedua dan atlet Malaysia, Chew Huey Ming di kedudukan ketiga.
Borneo100 Triathlon 2026 turut menarik penyertaan atlet dari Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, Itali, Denmark, Jepun dan Rusia, memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara acara triatlon paling kompetitif di rantau ini.
Kejayaan Martyn bukan sahaja mencerminkan peningkatan prestasi atlet Sarawak di pentas antarabangsa, malah membuktikan potensi negeri ini dalam melahirkankan atlet elit negara dalam sukan lasak berprestasi tinggi.— EDISI UKAS