Figura Umum Perlu Berhati-Hati Dalam Ucapan, Penggunaan Bahasa
KUCHING: Figura umum disaran agar sentiasa berhati-hati dalam setiap ucapan dan penggunaan bahasa kerana kenyataan yang disampaikan mampu memberi pengaruh secara langsung mahupun tidak langsung kepada masyarakat, khususnya golongan belia dan orang muda.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, individu yang sering menjadi tumpuan awam perlu memastikan ucapan mereka disediakan dengan baik bagi mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham atau menjejaskan reputasi pihak tertentu.
Menurut beliau, penyediaan teks ucapan yang teratur amat penting terutama bagi mereka yang kurang selesa berucap secara spontan.
“Saya rasa mereka harus berhati-hati ketika berucap, jadi antara pentingnya ialah menyediakan teks ucapan yang baik.
“Kalau dah tahu kemampuan untuk berucap secara spontan itu tidak begitu baik, saya rasa elok teks ucapan disediakan sebab kadang-kadang tersasul kata, kesan dia kadang-kadang tidak baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Taklimat Perdana Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Pelancaran Buku Agenda Pemikiran Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, satu insiden melibatkan rakyat Malaysia di luar negara baru-baru ini menunjukkan bagaimana sesuatu yang dianggap gurauan boleh menjejaskan nama baik negara.
Sehubungan itu, Datuk Abdullah berharap buku yang dilancarkan hari ini dapat menjadi pedoman kepada mereka yang sering berucap, termasuk pengacara majlis dan pembaca berita, agar sentiasa beradab dan berhati-hati dalam penggunaan bahasa.
Tambah beliau, tanggungjawab menjaga tutur kata bukan hanya terletak pada DBP semata-mata, tetapi juga dipikul oleh semua pihak bagi memastikan keharmonian negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan cabaran besar yang dibawa oleh media sosial, yang menurutnya sukar dikawal dan sering menjadi ruang kepada penyebaran kenyataan yang boleh menimbulkan buruk sangka.
“Itu adalah sesuatu yang harus kita pertahankan di negara ini di mana sensitiviti kaum-kaum yang lain juga serta kepelbagaian agama.
“Saya rasa Kerajaan Persekutuan sedang mengubah undang-undang ke arah laporan yang berintegriti,” ujarnya.
Hadir sama, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Hazami Jahari dan Ahli Lembaga Pengelola DBP Dato Dr Jeniri Amir. -EDISI UKAS