Jangan Gadai Keharmonian Demi Perhatian Politik - Datuk Abdullah
KUCHING: Keharmonian yang sekian lama menjadi kekuatan dan identiti Sarawak tidak seharusnya digadaikan demi meraih perhatian atau populariti politik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, mana-mana pihak khususnya pemimpin politik, perlu lebih bertanggungjawab apabila membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Jadi kalau ada pun, saya lontarkan balik persoalannya, apa niat dia sebenarnya? Kalau hanya untuk meraih politik, saya rasa itu satu adab politik yang cetek dan saya rasa inilah contoh orang politik yang tidak patut kita ikut.
“Kita bergerak ke hadapan kerana sekarang dalam suasana di mana kita sedang melihat agenda-agenda yang positif yang boleh membawa kita ke depan, bukan patah balik ke belakang dan menimbulkan keresahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Taklimat Perdana Penerbitan DBP dan Majlis Pelancaran Buku Agenda Pemikiran Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, pada Selasa.
Beliau diminta mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli politik mendakwa wujud perjanjian pada masa lalu berkaitan keutamaan kaum Melayu bagi jawatan Ketua Menteri Sarawak.
Mengulas lanjut, Datuk Abdullah menambah, walaupun sejarah mempunyai nilai sebagai pedoman, terdapat perkara tertentu yang tidak seharusnya dibangkitkan sehingga boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Katanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah Sarawak yang aman, maju, progresif dan kompetitif.
Menurutnya, penyebaran isu seumpama itu di media sosial berpotensi mencetuskan kekeliruan, fitnah dan buruk sangka yang akhirnya menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Sarawak berbilang kaum, wilayah yang paling majmuk dan kita menghormati semua budaya dan agama, dan itu adalah wajah Sarawak yang tercantik yang harus kita pertahankan.
“Bukan hanya gah dari segi ekonomi dan pembangunan, kita juga gah dari segi jati diri kita sebagai anak Sarawak yang menyayangi keamanan dan keharmonian,” tegasnya. -EDISI UKAS