Miri Lakar Sejarah Lahirkan Kumpulan Pertama Pemegang Tali Pinggang Hitam Para Taekwondo
MIRI: Bandar raya Miri melakar sejarah apabila berjaya melahirkan kumpulan pertama atlet Para Taekwondo yang dianugerahkan tali pinggang hitam selepas lulus Ujian Kenaikan Pangkat Dan Para Taekwondo yang berlangsung di Pusat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sunflower Miri pada Jumaat.
Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, pencapaian bersejarah itu membuktikan individu kelainan upaya mampu mencapai kecemerlangan dalam sukan menerusi disiplin, komitmen dan semangat yang tinggi.
Menurut beliau, para peserta menjalani latihan secara konsisten selama empat tahun di bawah bimbingan Grandmaster Kim dengan menghadiri sesi latihan sebanyak dua kali seminggu sebelum berjaya melepasi ujian kenaikan pangkat dan memperoleh tali pinggang hitam, sekali gus menjadi perintis kepada pembangunan Para Taekwondo di Miri.
Beliau turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu mercu tanda penting yang diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai individu untuk menceburi sukan Para Taekwondo pada masa hadapan.
Pada majlis sama, Adam Yii menerima Sijil Kehormat Dan Ke-5 daripada Kukkiwon sebagai pengiktirafan terhadap sokongan berterusan serta sumbangan beliau dalam memperkasa pembangunan sukan Taekwondo di Miri.
Program berkenaan turut menampilkan demonstrasi VR (Virtual Reality) Taekwondo Sparring, teknologi latihan dan pertandingan tanpa sentuhan fizikal yang kini diterima sebagai acara rasmi Sukan Asia dan dijadualkan dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.
Penggunaan teknologi tersebut dalam latihan Para Taekwondo dilihat mampu menyediakan persekitaran latihan yang lebih selamat dan inklusif, selain membantu atlet meningkatkan kemahiran serta keyakinan diri.
Turut hadir Pengerusi Taekwondo Miri, Master Michael, Pengerusi PPDK Sunflower, Samson Bala serta Grandmaster Kim dari Miri Kim’s Taekwondo.- EDISI UKAS