Filem ‘Dear You’ Angkat Nilai Kemanusiaan, Hargai Pengorbanan Generasi Terdahulu
BINTULU: Filem ‘Dear You’ bukan sekadar menyajikan hiburan, malah mengangkat nilai kemanusiaan, kasih sayang dan pengorbanan generasi terdahulu yang mampu memberi inspirasi serta pengajaran kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, filem tersebut menyampaikan mesej yang mendalam mengenai kepentingan mengamalkan nilai kasih sayang, keikhlasan dan kemanusiaan dalam kehidupan seharian, di samping mengingatkan masyarakat terhadap pengorbanan nenek moyang yang berhijrah ke rantau Asia Tenggara demi masa depan yang lebih baik.
Menurut beliau, walaupun ‘Dear You’ dihasilkan sebagai sebuah karya hiburan, jalan ceritanya sarat dengan mesej yang mampu menyentuh emosi penonton.
“Penonton mungkin perlu menyediakan tisu kerana jalan ceritanya begitu menyentuh perasaan.
“Antara pengajaran yang paling memberi kesan ialah pesanan supaya kita sentiasa mengamalkan nilai kasih sayang dan kemanusiaan serta menghargai pengorbanan generasi terdahulu yang berhijrah ke rantau Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Menonton Filem Bersama YB: ‘Dear You’ di GSC The Spring Bintulu pada malam Khamis.
Johnny Pang berkata, penghasilan karya yang mengetengahkan tema kekeluargaan, sejarah dan kemanusiaan mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap jasa generasi terdahulu selain menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan penonton.
Beliau turut berharap lebih banyak filem tempatan yang berteraskan pendidikan, sejarah dan kemanusiaan dapat diterbitkan pada masa hadapan bagi memberikan impak positif kepada masyarakat serta memperkukuh penghargaan terhadap warisan dan nilai kehidupan.- EDISI UKAS