Borneo Tuak Festival 2026 Angkat Warisan Budaya, Perkasa Pelancongan Berasaskan Komuniti
KUCHING: Borneo Tuak Festival 2026 dijangka menjadi platform penting dalam mengangkat tuak sebagai warisan budaya masyarakat pribumi Sarawak, di samping memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan komuniti, budaya dan gastronomi.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, festival yang menjadi program utama di bawah Festival Beras dan Gastronomi Borneo 2026 itu bukan sekadar meraikan tuak sebagai minuman tradisional, malah membuka peluang ekonomi kepada komuniti luar bandar, usahawan pribumi, pengusaha makanan, artisan, pengamal budaya dan bakat kreatif tempatan.
“Melalui platform ini, komuniti luar bandar, usahawan pribumi, pengusaha makanan, artisan, pengamal budaya dan bakat kreatif muda dapat berkongsi kisah, tradisi dan identiti mereka secara langsung kepada pengunjung dari seluruh negara serta luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai festival tersebut di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini, pada Jumaat.
Datuk Sebastian Ting menambah, Festival Tuak Borneo yang bermula sejak 2023 telah memberi impak positif kepada pengusaha tempatan apabila semakin ramai berjaya meningkatkan kualiti produk melalui pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran yang lebih profesional.
Selain itu, beliau berkata festival tersebut turut merangsang inovasi dalam kalangan pengusaha, termasuk menghasilkan sendiri yis bagi pengeluaran tuak, sekali gus membuka peluang perniagaan baharu dalam rantaian industri berkenaan.
Menurut beliau, pembangunan produk budaya yang berkualiti bukan sahaja meningkatkan nilai pasaran, malah memberi manfaat kepada usahawan luar bandar, artisan, pengeluar makanan tradisional, penggiat seni serta generasi muda melalui usaha pemeliharaan dan pewarisan warisan budaya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak akan terus menyokong inisiatif yang selaras dengan agenda pembangunan pelancongan bernilai tinggi, mampan dan berasaskan komuniti.
Beliau yakin Festival Beras dan Gastronomi Borneo berpotensi berkembang sebagai antara acara pelancongan utama di rantau BIMP-EAGA, manakala Borneo Tuak Festival mampu menjadi acara bertaraf antarabangsa yang memperkenalkan identiti budaya unik Sarawak kepada dunia.
Festival Tuak Borneo 2026 akan kembali dari 17 hingga 19 Julai 2026 di 11 Ridgeway Kuching.
Penganjuran kali ini dijangka menghimpunkan lebih 60 pembekal termasuk 40 jenama tuak dari Sarawak dan Kuala Lumpur, selain menawarkan pelbagai juadah tempatan, pameran seni dan kraf, persembahan kebudayaan serta hiburan, bengkel pembuatan tuak dan demonstrasi warisan budaya Borneo.-EDISI UKAS