Kerjasama Penduduk Long Panai Penting Jayakan Pelaksanaan Projek MMMLL
LONG PANAI: Kerjasama dan sokongan berterusan daripada penduduk Long Panai terhadap pelaksanaan projek Jalan Marudi–Mulu–Long Panai–Long Lama (MMMLL) penting bagi memastikan projek strategik itu dapat dilaksanakan dengan lancar demi manfaat masyarakat setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata pembangunan tidak dapat direalisasikan tanpa persefahaman dan sokongan masyarakat.
Beliau berkata, projek MMMLL perlu dilaksanakan dengan lancar demi masa depan generasi akan datang kerana manfaatnya bukan sahaja akan dinikmati oleh masyarakat hari ini, malah turut diwarisi oleh anak cucu pada masa hadapan.
“Apabila siap kelak, MMMLL akan menghubungkan penempatan di pedalaman dengan lebih selamat dan selesa.
“Selain itu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan sektor pelancongan, peningkatan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan,” katanya.
Datuk Gerawat berkata demikian selepas lawatan kerja bersama Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina Apphia Ngau ke Long Panai pada Rabu.
Pada lawatan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu turut menghadiri sesi dialog mengenai projek Jalan Marudi–Mulu–Long Panai–Long Lama (MMMLL) bagi jajaran Long Panai yang diadakan oleh RECODA.
Beliau berkata, projek itu merupakan pelaburan jangka panjang Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan taraf hidup rakyat serta merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Beliau turut memaklumkan bahawa Projek Fasa 1 Sistem Penuaian Air Hujan (Rainwater Harvesting System) di Long Panai yang akan dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dijangka siap menjelang Mei 2027.
“Projek bekalan air bersih itu melibatkan pemasangan 132 unit sistem di rumah panjang, selain dua unit untuk Gereja BEM Long Panai, dua unit di balai raya kampung serta satu unit di perpustakaan kampung bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, projek menaik taraf Gereja BEM Long Panai yang dilaksanakan menerusi peruntukan UNIFOR berjumlah RM400,000 dijangka siap pada penghujung November ini. –EDISI UKAS