KDNK Per Kapita Sarawak Cecah RM73,757 Pada 2025, Mengatasi KDNK Purata Nasional Yang Catat RM59,167
KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara apabila mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita sebanyak RM73,757 pada tahun 2025, melepasi paras purata nasional sebanyak RM59,167.
Kementerian Ekonomi dalam satu kenyataan pada Rabu memberitahu, berdasarkan data terkini, hanya enam negeri merekodkan KDNK per kapita melebihi purata negara, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM144,898), Wilayah Persekutuan Putrajaya (RM126,359), Wilayah Persekutuan Labuan (RM88,764), Pulau Pinang (RM80,584), Sarawak (RM73,757) dan Selangor (RM70,362).
Di peringkat nasional, KDNK per kapita meningkat daripada RM56,772 pada tahun 2024 kepada RM59,167 pada tahun 2025, mencerminkan pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan.
Sementara itu, nilai ekonomi Sarawak berkembang kepada RM153.5 bilion pada tahun 2025 berbanding RM148.2 bilion pada tahun sebelumnya, dengan kadar pertumbuhan keseluruhan sebanyak 3.6 peratus.
Sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri apabila berkembang sebanyak 5.4 peratus, meningkat daripada 4.8 peratus pada tahun 2024.
Prestasi tersebut didorong oleh pertumbuhan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan, utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Sektor pembuatan pula mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 0.1 peratus berbanding 1.3 peratus pada tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh penyusutan dalam pengeluaran produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang menyumbang lebih 80 peratus kepada sektor berkenaan.
Bagi sektor perlombongan dan pengkuarian, pertumbuhan direkodkan pada kadar 2.7 peratus, lebih rendah berbanding 4.8 peratus pada tahun 2024, susulan peningkatan kecil dalam subsektor gas asli yang menyumbang 72.2 peratus kepada keseluruhan sektor tersebut.
Dalam pada itu, sektor pertanian mencatat pertumbuhan 4.3 peratus, dipacu oleh prestasi positif subsektor tanaman, khususnya kelapa sawit.
Sektor pembinaan pula merekodkan pertumbuhan paling kukuh pada kadar 10.9 peratus, disokong oleh peningkatan aktiviti dalam subsektor kejuruteraan awam serta pembinaan bangunan.
Prestasi keseluruhan ini mencerminkan daya tahan ekonomi Sarawak yang terus diperkukuh menerusi kepelbagaian sektor ekonomi serta momentum pembangunan yang berterusan.