151 Penerima Dikurnia Darjah Kebesaran Negeri Sarawak
KUCHING: Seramai 151 penerima dikurniakan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri yang berlangsung di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak, di sini pada Khamis.
Pengurniaan dimulakan dengan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) yang disampaikan kepada 13 penerima iaitu Dr. Zainal Abiddin Masleh, Abang Ahmad Abang Abdul Wahab, Abg Zamari Abg Nazarin, Dau Utau, Faridzul Abdullah, Jumari Hashim, Louis Yeo Soon Guan, Richard Mulok Entring, Rabuan Mantine, Samsudin Drahman, Dayang Mariana Abang Bolhassan, Jamilah Bujang dan Sharifah Liz Faraawati Wan Omar.
Seterusnya, Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) dikurniakan kepada 20 penerima iaitu Abdul Razak Amin, Amir Ahmad Dewan, Baweng Tajang, Francis Dana Chuat, Hassan Haron, Joseph Tindan serta yang lain diikuti 13 individu dikurniakan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Ahli Bintang Sarawak (A.B.S).
Istiadat diteruskan lagi dengan 27 penerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K) manakala Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) dikurniakan kepada 35 individu.
Selain itu, seramai 43 penerima dikurniakan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Bentara Bintang Sarawak (B.B.S).
Dalam majlis tersebut, mengiringi Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi ialah isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi, Ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan.-EDISI UKAS