Jerebu: Sembilan Kawasan Sarawak Catat IPU Tidak Sihat, Kuching Tertinggi
KUCHING: Sebanyak sembilan kawasan di Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 11 pagi, dengan Kuching merekodkan bacaan tertinggi iaitu 164.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata, kawasan lain yang mencatat bacaan tidak sihat ialah Samarahan (161), Serian (160), Bintulu (157), Sarikei (157), Sri Aman (153), Sibu (152), Mukah (151) dan Samalaju (118).
“Kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan kawasan di Sarawak yang disebabkan oleh pergerakan asap jerebu daripada pelbagai arah,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh JAS pada Sabtu.
Azuri menambah, laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) bertarikh 14 Ogos 2026, sebanyak 226 titik panas dikesan di Kalimantan, lima di Sumatera dan tujuh di Malaysia, dengan lima daripadanya dikesan di Sarawak serta dua di Sabah.
Menurutnya, peta Jerebu Serantau ASMC turut menunjukkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga padat berpunca daripada kelompok titik panas di Kalimantan Barat bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.
Tambahnya, kepulan asap setempat sederhana hingga padat turut diperhatikan berpunca daripada titik panas di sebahagian besar Kalimantan, bahagian tengah Sarawak serta bahagian tengah Sumatera.
“Beberapa stesen pengawasan kualiti udara di Kalimantan Barat serta bahagian barat dan tengah Sarawak merekodkan bacaan pada tahap Tidak Sihat,” ujar beliau -EDISI UKAS