Pertandingan Kebersihan Sungai DUN Tarat Terus Galak Pemeliharaan Alam Sekitar
TEBEDU: Pertandingan Kebersihan dan Lanskap Sungai Dalam Kampung Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat terus menjadi platform untuk memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan sungai serta kelestarian alam sekitar.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program tersebut akan diteruskan sebagai satu inisiatif untuk memperkukuh usaha masyarakat dalam memelihara alam sekitar, khususnya sungai dan kawasan sekitarnya.
Menurutnya, penjagaan sungai bukan sekadar memastikan air bersih dan jernih atau meningkatkan populasi ikan, malah berkait rapat dengan aspek kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Sungai yang terpelihara berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu kepada penduduk melalui aktiviti perikanan darat, agropelancongan dan inap desa, selain membuka peluang pekerjaan serta menarik aktiviti penyelidikan.
“Kalau kita jaga sungai dengan baik, kita harus memastikan tiada pembuangan sampah atau bahan yang boleh mencemarkan sungai. Ini penting kerana pencemaran boleh membawa pelbagai penyakit kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kebersihan dan Lanskap Sungai Dalam Kampung Kawasan DUN Tarat Edisi Ke-12 di Dewan Serbaguna Kampung Darul Islam Belimbing, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan dan masyarakat dalam memastikan dasar kelestarian alam sekitar Sarawak dapat diteruskan secara berkesan.
Dato Sri Roland turut berharap lebih banyak kampung akan menyertai pertandingan tersebut pada masa depan dan menjadikan penjagaan kebersihan serta kelestarian sungai sebagai amalan berterusan, bukan hanya demi memenangi pertandingan.
Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Darul Islam Belimbing muncul juara edisi kali ini dengan tempat kedua diraih JKKK Kampung Senah Reyang manakala JKKK Kampung Simpok menduduki tempat ketiga.
JKKK Kampung Pesang pula menerima Anugerah Khas. -EDISI UKAS