Kekalkan Status Bebas Rabies, Pemilik Anjing Di Miri Diseru Dapatkan Vaksinasi
MIRI: Status Miri sebagai kawasan bebas rabies yang berjaya dikekalkan selama dua tahun perlu dipertahankan menerusi vaksinasi berterusan serta kerjasama pemilik anjing mendapatkan vaksin untuk haiwan peliharaan masing-masing.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program vaksinasi bergerak yang dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak merupakan antara usaha penting bagi memastikan kawalan rabies terus diperkukuh di Miri.
Katanya, 4,426 anjing menerima vaksinasi anti-rabies sepanjang tahun lalu, manakala sebanyak 2,322 anjing telah menerima vaksinasi setakat 22 Ogos tahun ini.
“Kita mahu Miri kekal bebas rabies. Oleh itu, masyarakat Miri perlu bekerjasama dan membawa anjing mereka untuk mendapatkan vaksinasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Program Vaksinasi Anti-Rabies, Mikrocip dan Perlesenan Anjing di Taman Awam Miri, pada Ahad.
Menurut Dato Sri Lee, sambutan terhadap program vaksinasi bergerak di lokasi-lokasi sebelum ini amat menggalakkan, sekali gus menunjukkan kesediaan masyarakat memainkan peranan dalam membendung penularan rabies.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menggalakkan semua pemilik anjing di Miri mengambil kesempatan mendapatkan vaksinasi yang disediakan secara percuma.
“Saya ingin menggalakkan semua pemilik anjing di Miri membawa anjing mereka untuk mendapatkan vaksinasi. Ia percuma, jadi sila gunakan peluang ini sebaik-baiknya,” katanya.
Dalam pada itu, lima lagi lokasi telah dikenal pasti bagi meneruskan program vaksinasi bergerak, iaitu Dewan Dato Permaisuri pada 5 dan 6 September, Ah Hong’s Grocer Tudan pada 12 dan 13 September, Taman Bulatan pada 19 dan 20 September, Kolej Fajar, Pujut pada 26 dan 27 September serta Emart Riam pada 3 dan 4 Oktober.
Beliau berharap lebih ramai pemilik anjing akan menyertai program berkenaan bagi membantu mempertahankan status Miri sebagai kawasan bebas rabies serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara. -EDISI UKAS