Laksana ‘Post Mortem’ Prestasi Sukan Selepas SUKMA
SELANGOR: Prestasi setiap sukan Kontinjen Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 akan melalui proses ‘post mortem’ bagi mengenal pasti kekuatan, kelemahan serta aspek yang perlu dipertingkatkan sebagai persediaan menghadapi temasya akan datang.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, proses tersebut akan dilaksanakan selepas kontinjen kembali ke Kuching dengan penelitian dibuat terhadap pencapaian setiap sukan.
Menurutnya, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah tahap penyertaan Sarawak dalam sukan yang menawarkan jumlah acara dan pingat yang banyak.
“Apabila sesuatu sukan mempunyai banyak acara, kita perlu menyertai sekurang-kurangnya separuh atau, sebaik-baiknya, dua pertiga daripada keseluruhan acara yang dipertandingkan.
“Jika kita hanya menyertai sebahagian kecil, sebelum turun ke kolam atau gelanggang lagi, kita sebenarnya sudah berada dalam keadaan yang kurang menguntungkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap kepada pihak Sekretariat Kontinjen Sarawak menjelang hari terakhir SUKMA XXII Selangor 2026 pada Ahad.
Hadir sama dalam majlis itu ialah dua Timbalannya Datuk Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dzulkornain Masron serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Mu'azamir Jili.
Dato Sri Abdul Karim menambah, sukan akuatik antara yang perlu diberikan perhatian berdasarkan jumlah acara dan peluang pingat yang ditawarkan.
Katanya, pendekatan pembangunan sukan berkenaan perlu dilihat semula termasuk dari aspek kepakaran kejurulatihan mengikut disiplin seperti acara jarak jauh, jarak dekat dan pecut.
“Berdasarkan pengalaman saya bertahun-tahun terlibat dalam SUKMA, sukan akuatik merupakan antara sukan yang sangat penting.
“Kita mungkin perlu melihat semula pendekatan yang digunakan, termasuk membawa masuk lebih ramai jurulatih yang mempunyai kepakaran khusus,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian skuad berbasikal Sarawak yang berjaya menghadiahkan tiga pingat emas pada temasya kali ini.
Menurutnya, kejayaan tersebut cukup bermakna kerana beliau sendiri pernah aktif dalam sukan berbasikal pada era 1970-an.
“Sebelum ini, saya belum pernah melihat kita meraih pingat emas dalam sukan berbasikal, sehinggalah pada tahun ini.
“Mereka bukan sahaja menghadiahkan satu pingat emas, tetapi tiga pingat emas. Bukan mudah untuk memenangi emas dalam sukan berbasikal, namun atlet kita berjaya melakukannya,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memuji semangat kebersamaan dan solidariti tinggi yang dipamerkan atlet, pegawai serta penyokong Sarawak sepanjang temasya berlangsung.
“Mungkin kita bukan juara keseluruhan, tetapi dari segi solidariti dan semangat kebersamaan, kita adalah juara,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg gembira dengan prestasi yang dipamerkan Kontinjen Sarawak.
Dato Sri Abdul Karim seterusnya menyeru atlet yang masih mempunyai baki saingan untuk memberikan persembahan terbaik dalam usaha membantu Sarawak menamatkan temasya pada kedudukan terbaik. -EDISI UKAS