Baleh-Kapit Rakit Safari Terus Perkukuh Hubungan Komuniti, Promosi Eko-Pelancongan
KAPIT: Kesinambungan penganjuran Baleh-Kapit Rakit Safari perlu terus dipertahankan sebagai wadah memperkukuh hubungan harmoni antara komuniti rumah panjang di kawasan Baleh, selain menyokong pembangunan sektor pelancongan di kawasan pedalaman.
Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, penganjuran acara berkenaan turut mencerminkan kerjasama erat antara masyarakat setempat dalam memastikan hubungan sesama rumah panjang terus terpelihara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Baleh-Kapit Rakit Safari Edisi Ke-29 di Rumah Panjang Jonas Spata Baleh, pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Alexander, kerjasama baik komuniti Rumah Panjang Jonas Spata dan Rumah Panjang Kuling Pala Wong dalam menyambut tetamu serta menjayakan program berkenaan wajar diteruskan pada masa akan datang.
Dalam majlis sama, beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Rumah Panjang Jonas Spata dan RM13,000 kepada Rumah Panjang Kuling Pala Wong.
Sementara itu, Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong memuji usaha komuniti tempatan dalam menjayakan edisi ke-29 program tersebut.
Beliau menekankan bahawa kejayaan inisiatif seperti itu memerlukan semangat politik yang tinggi serta kerjasama berterusan antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat.
“Sungai dan budaya berakit perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan pelancongan lestari di pedalaman,” ujarnya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh Nicholas Kudi Jantai, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Setiausaha Politik Kementerian Kerja Raya Malaysia Dato Alvin Runggah Jimbun, Setiausaha Politik Premier Sarawak Watson Awan, Timbalan Residen Bahagian Kapit Robert Liman, Pegawai Daerah Bukit Mabong Jabang Juntan serta jemputan lain.-EDISI UKAS