Kerjasama Ibu Bapa & Guru Penting Bentuk Sahsiah Murid
BALAI RINGIN: Kerjasama erat antara ibu bapa dan guru penting dalam membentuk sahsiah murid serta membendung masalah sosial dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan berkata, hubungan yang kukuh antara kedua-dua pihak juga penting bagi memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak sentiasa diberi perhatian.
“Kerjasama yang erat antara ibu bapa dan guru amat penting dalam membentuk sahsiah serta memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau Sekolah Kebangsaan (SK) Telagus Jerok di Mini Stadium Balai Ringin, pada Sabtu.
Datuk Snowdan menambah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting dalam memastikan segala bentuk bantuan dan keperluan sekolah, termasuk kemudahan serta peralatan pembelajaran, dapat dimanfaatkan secara berkesan demi kepentingan murid.
Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan asas penting dalam melahirkan generasi berilmu, berkualiti dan berdaya saing pada masa hadapan.
Sehubungan itu, Datuk Snowdan memperuntukkan RM15,000 menerusi dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada PIBG SK Telagus Jerok bagi membantu membiayai aktiviti tahunan sekolah.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pelaksanaan projek bekalan air bersih dengan kos keseluruhan RM260 juta di konstituensi Balai Ringin terus berjalan lancar dan dijangka siap pada awal 2027. -EDISI UKAS