48 Pasukan Sertai SABATI Cup, Platform Bina Jaringan & Kongsi Pengalaman
KUCHING: Sebanyak 48 pasukan menyertai Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) Cup 2026 menghimpunkan pemain daripada pelbagai latar belakang termasuk agensi kerajaan serta peserta dari luar negara yang bukan sahaja sebagai pertandingan malah platform untuk pemain membina jaringan serta berkongsi pengalaman.
Format berpasukan membolehkan pemain daripada pelbagai negara dan latar belakang bergabung dalam satu pasukan, sekali gus mewujudkan peluang untuk membina jaringan dan mengeratkan silaturahim.
Dalam pertandingan tersebut, Pasukan Hong Kong, China 1 berjaya meraih tempat pertama, sekali gus menggondol hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.
Pasukan Sunway Megalanes 2 meraih tempat kedua yang menerima wang tunai sebanyak RM1,000, manakala pasukan Hero Bowling dari Sarawak meraih tempat ketiga untuk menerima hadiah RM250.
Majlis penyampaian hadiah tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Kehormat SABATI Dato Enn Ong Siok Ean di Megalanes Sarawak, Batu Kawah pada Isnin.
Jumlah hadiah ditetapkan pada kadar sederhana kerana fokus utama kejohanan adalah untuk mengeratkan silaturahim, membina jaringan serta melaksanakan aktiviti anggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang tidak berorientasikan keuntungan.
Dalam pada itu, penganjur pertandingan tersebut, Persatuan Tenpin Boling Sarawak (ABAS) turut tampil melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan menyumbang sebanyak RM10,000 kepada Kuching Autistic Association (KAA).
Sumbangan itu disampaikan oleh Presiden ABAS, Sunny Si Poh Heng.
Untuk makluman, SABATI Cup merupakan pertandingan pembukaan kepada Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Terbuka Sarawak (SIOTBC) 2026 yang bakal bermula esok hingga 12 September ini. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Zulfadhli Ahmad Sharir