SIBU: Seramai kira-kira 850 perwakilan komuniti Katolik dari sembilan keuskupan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak berhimpun di Sibu bagi menjayakan Persidangan Pastoral Malaysia 2026 (MPC2026) yang berlangsung dari 9 hingga 13 September.
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang berkata, persidangan berkenaan mencatat sejarah sebagai perhimpunan Katolik peringkat kebangsaan pertama yang diadakan dalam skala sedemikian sejak penubuhan Malaysia pada 1963.
“Persidangan ini bukan sahaja menjadi peluang bagi komuniti Katolik untuk memperkukuh iman dan silaturahim mereka, tetapi juga merupakan peluang penting untuk merenung bagaimana komuniti agama boleh terus menyumbang ke arah Malaysia yang lebih harmoni, inklusif, dan bersatu padu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan MPC2026 bertemakan “Celebrate, Listen, Walk Together” di Hotel Kingwood, di sini, pada Khamis.
Menurut Dato Sri Aaron, penganjuran tersebut turut meneruskan legasi khidmat bakti komuniti Kristian yang bermula sejak kedatangan misionaris Kristian di Borneo pada 1881.
Beliau berkata, berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan 2020, penganut Kristian berjumlah kira-kira 2.9 juta orang atau 9.1 peratus daripada populasi negara, dengan Sarawak merekodkan jumlah tertinggi.
Ujarnya, komuniti Katolik telah memberikan sumbangan penting kepada pembangunan negara menerusi bidang pendidikan, kesihatan, kebajikan sosial, kerja amal dan khidmat kepada masyarakat yang memerlukan.
Menurut beliau lagi, sumbangan tersebut membuktikan nilai agama mampu diterjemahkan kepada tanggungjawab serta keprihatinan terhadap masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Turut hadir Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Sarawak, Dato Georgina Apphia Ngau; Uskup Pulau Pinang, Cardinal Dato’ Seri Sebastian Francis; Presiden Persidangan Uskup-Uskup Katolik Malaysia merangkap Uskup Agung Kuching, Reverend Dato’ Dr. Simon Poh Hoon Seng; serta Uskup Agung Kuala Lumpur merangkap Presiden MPC2026, Reverend Julian Leow Beng Kim.- EDISI UKAS